Berita

Festival Makanan Tradisional Borneo disambut meriah

MAUREEN (belakang, lapan dari kanan) berkesempatan bergambar bersama para peserta terdiri pelbagai etnik pada Majlis Perasmian Festival Makanan Tradisional Borneo 2022.
- Diterbit 6 November 2022 3:00 AM MYT

FESTIVAL Makanan Tradisional Borneo 2022 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Inspirasi Wanita Labuan (LANITA) menjadi satu platform bagi memartabat makanan warisan dan budaya masyarakat.

Menurut Pengerusinya, Maureen Tidal, penganjuran itu adalah bertujuan mengetengahkan makanan tradisional etnik di borneo kepada masyarakat.

Katanya, sebanyak tujuh etnik daripada Sabah, Labuan, Sarawak dan Brunei telah menyertai penganjuran itu dengan mempamerkan kira-kira 50 jenis makanan tradisional.

“Dengan festival ini ia dapat mengetengahkan makanan tradisional kepada masyarakat untuk mereka berpeluang merasai makanan tradisi ini dan secara tidak langsung memartabatkan warisan tradisional agar ia tidak dilupakan oleh generasi muda masa kini.

“Sambutan daripada penyertaan etnik di Borneo amat baik kerana ianya adalah satu platfom kepada mereka untuk mengetengahkan budaya etnik masing-masing selain daripada muzik dan seni.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Festival Makanan Borneo 2022 di Ujana Kewangan, baru-baru ini.

Hadir sama, Pemangku Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Labuan, Fanny John Sipawi.

Selain itu, pelbagai pengisian turut diadakan antaranya Pertandingan Dulang Ambuyat, Menumpah Ambuyat, Pertandingan Pakaian Etnik Borneo, Persembahan Peragaan Pakaian Tradisional Kanak-Kanak dan Pameran Kuih-Muih.

Penganjuran selama tiga itu telah dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung dari luar dan dalam Labuan. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas