Berita

Fenomena gerhana matahari cincin, air pasang besar di Tanjung Piai 26 Disember ini

ORANG ramai bakal menyaksikan gerhana matahari cincin pada 26 Disember ini.
- Diterbit 5 November 2019 2:35 AM MYT

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia sekali lagi bakal berpeluang menyaksikan fenomena astronomi yang jarang berlaku di Malaysia iaitu gerhana matahari anulus pada 26 Disember ini.

Fenomena yang juga dikenali sebagai gerhana matahari cincin itu pernah terjadi dalam tempoh 21 tahun lalu iaitu pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor. Selepas ini, gerhana matahari cincin hanya akan dapat dilihat di Malaysia pada 14 Oktober 2042.

Secara umumnya, fenomena gerhana matahari separa akan bermula kira-kira pukul 11.26 pagi hinggalah berlaku gerhana matahari anulus pada pukul 1.21 petang di Tanjung Piai, Pontian, Johor hingga pukul 1.23 petang sebelum disambung semula gerhana matahari separa hingga pukul 3.17 petang.

Ekoran fenomena tersebut pada masa sama berlaku dua lagi kejadian besar iaitu air pasang besar di Tanjung Piai dan penghijrahan burung-burung.

Bersempena fenomena alam semesta itu, Planetarium Negara memilih Tanjung Piai yang juga terkenal dengan jolokan “Penghujung Paling Selatan Tanah Besar Benua Asia” di Pontian dan Serian, Sarawak sebagai lokasi rasmi program gerhana matahari anulus manakala Planetarium Negara di Kuala Lumpur lokasi rasmi bagi gerhana matahari separa.

ANITA menerangkan mengenai teleskop yang boleh digunakan orang ramai untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari cincin dan gerhana matahari separa nanti.

Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari berkata, hampir separuh penduduk bumi akan menyaksikan fenomena gerhana matahari tersebut dengan kawasan liputannya dari Rusia di sebelah Utara sehingga Australia di Selatan serta dari Arab Saudi di bahagian Barat hingga ke Guam, Lautan Pasifik di Timur.

”Penduduk dunia yang menghuni kawasan di antara dua garisan merah (laluan gerhana matahari) di tengah-tengah peta projeksi ortografik berpeluang menyaksikan fenomena gerhana matahari anulus. Ruang antara garisan itu melibatkan kawasan tanah seluas kira-kira 118 kilometer.

”Di Malaysia, gerhana matahari anulus hanya boleh disaksikan di Tanjung Piai dan Kukup di Pontian, Tanjung Pelepas di Nusajaya dan Pengerang bagi Semenanjung Malaysia manakala di Sarawak melibatkan kawasan Bau, Serian, Kota Samarahan dan Sri Aman. Penduduk Bumi yang berada di luar dua garisan merah itu akan menyaksikan gerhana matahari separa,” katanya pada sidang akhbar di Planetarium Negara.

RAJAH menunjukkan waktu fenomena gerhana matahari cincin pada penghujung bulan depan.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Pembudayaan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara, Mohd. Zamri Shah Mastor serta Ketua Pegawai Eksekutif Strate Gist Sdn. Bhd., Sufian Said.

Anita berkata, Planetarium Negara dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai, Tourism Malaysia serta Majlis Daerah Pontian telah mengatur pelbagai acara berkaitan selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Disember ini pada program SolarFest Malaysia 2019.

”Antara aktiviti yang dirancang untuk dijalankan di lokasi-lokasi rasmi termasuk Ceramah Sains dan Bengkel Peralatan Melihat Gerhana, Edaran Edu-kit Gerhana dan Pencerapan Gerhana untuk Awam,” katanya.

Sementara itu, jelas Anita, penganjuran SolarFest Malaysia 2019 di Taman Negara Tanjung Piai bakal disertai secara aktif oleh ahli-ahli astrofizik, duta acara, tokoh dan selebriti tempatan melibatkan pelbagai acara sampingan seperti tapak pameran solar, kempen kesedaran alam semesta, solar gastronomi, kempen penanaman pokok bakau, persembahan muzik dan makanan etnik Johor, program keagamaan, eksplorasi alam serta banyak lagi.

Pada acara kemuncak 26 Disember ini, orang ramai khususnya peminat aktiviti astronomi berpeluang menyaksikan gerhana matahari anulus secara live streaming selain liputan di media sosial yang dijangka diikuti dua juta peminat astronomi di seluruh dunia selain sasaran himpunan sebanyak 2,000 teleskop yang akan dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records (MBOR). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas