Berita

Fasa empat Program Imunisasi dilaksana di Labuan dalam tempoh terdekat

PROGRAM vaksinasi di Labuan tidak dilakukan seperti fasa biasa susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak di pulau tersebut. Foto oleh - BERNAMA
- Diterbit 15 Jun 2021 9:33 AM MYT

FASA Empat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai fasa kawalan wabak, akan dilaksanakan di seluruh Labuan dalam tempoh terdekat bagi membendung jangkitan pandemik itu di kawasan wilayah persekutuan tersebut, kata Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, program vaksinasi di Labuan tidak lagi dilakukan sebagaimana fasa biasa susulan peningkatan kes COVID-19 yang mendadak di pulau tersebut, akibat penularan B.1.617.2 atau varian Delta yang menjadi varian lebih ganas.

“Semalam, hasil mesyuarat saya bersama dengan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa memutuskan, untuk kita melaksana program fasa empat sebagai fasa kawalan wabak di Labuan.

“Kita jangka akan selesai  proses vaksinasi kepada 80 peratus daripada jumlah penduduk dewasa di Labuan, selewat-lewat pertengahan Julai atau kalau boleh lebih awal daripada itu, untuk kita bendung penularan COVID-19 di sana,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor bersama dengan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari hari ini.

Semalan, Labuan mencatatkan 113 kes baharu dengan empat kematian menjadikan jumlah kes COVID-19 di pulau itu sebanyak 6,155 kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas