Berita

FARRED ZANE Sedih Kerana Kanak-Kanak Palestin

|FARRED Zane berharap lagu Sunyi terus mendapat sambutan menggalakkan.
- Diterbit 11 Oktober 2020 9:50 AM MYT

KESENGSARAAN kanak-kanak di Palestin akibat peperangan membuatkan hati penyanyi kacak Farred Zane cukup tersentuh. 

Atas dasar rasa kemanusiaan, Farred mencipta sebuah lagu berjudul Sunyi yang ditunjukan khas buat kanak-kanak di Palestin.

“Lagu Sunyi berkisar tentang seorang budak yang kesunyian sejak kecil hingga dewasa. Dia sunyi disebabkan kehilangan emak dan ayah sejak kecil dan hidup sebatang kara. 

“Lagu ini saya cipta berdasarkan kisah kehidupan anak-anak kecil di Palestin yang kehilangan ibu bapa pada usia muda lagi. 

“Kisah sedih mereka itu memberi idea pada saya untuk cipta lagu Sunyi,” katanya yang merakamkan lagu tersebut di studio rakaman Alfa, Rumi Booty dan Daqmie.

Bagi Farred atau nama sebenarnya Mohd Farid Mohd. Zin, 30, lagu ini juga cukup universal dan boleh disesuaikan dalam banyak keadaan.

FARRED Zane berharap lagu Sunyi terus mendapat sambutan menggalakkan.

Misalnya lagu Sunyi ini dijadikan runut bunyi telefilem Kasih Tau Foo Fah, arahan Raja Mukhriz yang ditayangkan di saluran TV3 pada 19 September lalu.

“Sewaktu pihak syarikat rakaman, Saudagar Seni memperdengarkan lagu Sunyi kepada Raja Mukhriz, pengarah itu terus bersetuju untuk menjadikan lagu ini sebagai runut telefilem Kasih Tau Foo Fah. 

“Katanya, lagu itu sesuai dengan jalan cerita tersebut. Dia juga kata lagu itu ada roh dan bila diputarkan di set penggambaran, ada pelakon yang menangis bila dengar lagu tersebut. 

“Alhamdulillah, lagu Sunyi berjaya menyentuh hati orang yang mendengarnya,” jelas Farred lagi yang turut berlakon dalam drama tersebut sebagai seorang pemandu.

Sebelum ini,  pemilik Diploma Seni Kulinari dari MSU (Management & Science University), Shah Alam itu juga pernah menganggotai kumpulan Damai & Friends dan sempat menghasilkan album berjudul Satu Kalimah serta tercalon dalam Anugerah Industri Muzik 2014.

Farred yang juga seorang cef dan pemilik syarikat Event Management Catering & Wedding Planner di Rawang, Selangor itu pernah muncul sebagai juara untuk program Sri Murni Dapur Duet bersama Khai Bahar pada 2019.

Peminat boleh menonton  video muzik Sunyi di saluran YouTube Saudagar Seni Media yang telah dilancarkan sejak 17 September lalu. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas