Selebriti

Fara Hazel sedih kandungan dipertikai

|SEORANG warga net pertikai usia kandungan Fara.|Fara Hazel|ADIK ke-10 Fara Hazel
- Diterbit 12 April 2020 12:57 PM MYT

DIKURNIAKAN rezeki awal hamil merupakan berita gembira buat pasangan penyanyi Fara Hazel, 23 dan suami tercinta, Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin, 24.

Pun begitu, perkhabaran gembira tersebut disalah erti oleh seorang warga net yang seolah mempertikaikan kandungannya yang dikatakan terlalu awal.

SEORANG warga net pertikai usia kandungan Fara di komen Instagram miliknya.

Kesal dengan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, menurut Fara warga net tersebut tidak sepatutnya meninggalkan komen yang tidak sopan sebegitu.

“Ini rezeki dari Allah, Dia bagi rezeki, kita tidak berhak untuk mempersoalkannya. Saya dan suami bersyukur kerana dikurniakan rezeki seawal ini,” ujar Fara kepada Wilayahku.

Enggan terlalu memikirkan hal tersebut, Fara mengakui dia kini mahu melalui fasa kehidupan baharu dengan penuh keterujaan bersama suami dan kandungan yang bakal mencecah usia tiga bulan.

“Saya perlu kawal emosi dan tidak ingin memikirkan perkara-perkara negatif terlalu serius kerana bimbang akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan ini,” ujarnya yang melangsungkan perkahwinan pada 20 Disember tahun lalu.

ADIK ke-10 Fara Hazel

Dalam masa yang sama, dia turut melahirkan rasa teruja apabila ibunya, Hazelina, 43 baru sahaja melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Nina Deylisya dua hari lalu.

“Alhamdulillah tak sabar nak jumpa adik baru tapi nampaknya kena tunggu sampai habis tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni tamat dululah sebab sekarang saya berada di rumah mentua di Terengganu,” ujar anak ketiga daripada 11 orang adik-beradik ini.

Pun begitu, Fara sedih kerana tidak dapat menjaga ibunya yang kini dalam tempoh berpantang.

“Memang dah rancang untuk jaga ibu sebab sebelum ini saya selalu jaga dia masa berpantang tapi kali ini tak kesampaian. Ibu pun tak kisah, dia cuma minta saya jaga bakal cucu pertama die dengan sebaiknya,” ujar Fara lagi. – WILAYAHKU

Fara Hazel
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas