Selebriti

Ezad tunda kahwin kali kedua

Ezan bersama isterinya.
- Diterbit 28 Mac 2020 7:21 AM MYT

HASRAT penyanyi Ezad Lazim untuk bersanding kali kedua bersama isteri tercinta, Nor Azeana Ramli pada 29 Mac ini terpaksa dibatalkan gara-gara wabak Covid-19 yang melanda negara.

Mengakui sudah melakukan persiapan hampir 90 peratus namun Ezad dan isteri akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

“Tipulah kalau tak sedih kerana persiapan dah hampir siap sepenuhnya namun kami redha. Insya-Allah jika keadaan sudah pulih seperti sediakala kami akan adakan majlis seperti yang dirancang,” ujarnya.

Kata Ezad lagi, persandingan kali kedua sempena ulang tahun ketujuh perkahwinan mereka tidak lain hanyalah untuk meraikan kawan-kawan, rakan media serta peminat yang banyak memberi sokongan kepada karier seninya selama ini.

“Apa salahnya bila ada rezeki lebih, kita berkongsi dengan orang lain. Lagi pula saya juga ingin menggembirakan isteri kerana dia sentiasa ada di sisi saat jatuh dan bangun,” ujar penyanyi berusia 41 tahun ini.

Tambah bapa kepada dua orang cahaya mata ini lagi, majlis perkahwinan yang bakal diadakan di Cinta White Ballroom by Ezad Lazim bukan sekadar meraikan ulang tahun perkahwinan mereka tetapi juga untuk memperkenalkan lokasi tersebut kepada orang ramai.

“Ini merupakan bisnes pakej perkahwinan yang baru diceburi oleh saya dan isteri bersama rakan kongsi. Kami ingin memperkenalkan pakej persandingan mampu milik di kawasan elit Petaling Jaya.

“Kita juga bakal mengumumkan tiga pakej istimewa perkahwinan kepada bakal mempelai di laman Facebook Cinta White Ballroom by Ezad Lazim pada 29 Mac ini” ujarnya kepada Wilayahku. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas