Utama

EWRF yakin PM mampu kembalikan kegemilangan sektor pendidikan

G.ANAMALAI berhasrat menjalin kerjasama lebih erat dengan kerajaan untuk bersama gembleng tenaga memperkasa sistem pendidikan. G. Anamalai berhasrat menjalin kerjasama lebih erat dengan kerajaan untuk bersama gembleng tenaga memperkasa sistem pendidikan.
- Diterbit 4 September 2021 3:51 AM MYT

YAYASAN Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan (EWRF) yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta barisan kabinetnya mampu membina sebuah “Keluarga Malaysia” yang lebih kukuh, aman, bersatu-padu dan maju.

Presidennya, G. Annamalai berkata, sekarang adalah masanya semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman politik dan kaum perlu bersama berganding bahu membina sebuah negara yang gemilang, kukuh serta stabil.

Katanya, Perdana Menteri telah menghulur tangan untuk bersama bergerak sebagai ‘Keluarga Malaysia’, maka wajar semua pihak menyambutnya dengan terbuka demi membawa kesejahteraan kepada setiap kelompok rakyat di negara ini.

“EWRF mengucapkan tahniah di atas pembentukan kabinet baharu bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri ke-9, dan juga seluruh anggota Jemaah Menteri yang telah diumumkan 27 Ogos lalu.

“Adalah menjadi harapan EWRF supaya kabinet pimpinan Perdana Menteri akan segera memberi keutamaan terhadap usaha memperkasakan kembali sektor pendidikan yang telah tergugat sejak lebih setahun lalu.

“Pendekatan untuk memberi nafas baharu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan golongan pelajar dan guru-guru turut perlu ditumpukan.

“Jadi dicadangkan supaya sesi percambahan minda melibatkan semua pertubuhan berkaitan dengan pendidikan diadakan bagi berkongsi pandangan serta menyusun semula strategi memajukan sistem dan sektor pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

EWRF sebuah pertubuhan bukan kerajaan telah beroperasi sejak tahun 1979, telah banyak berperanan di dalam membantu meningkatkan keupayaan akademik dan intelektual pelajar di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Sementara itu, Annamalai menyatakan, EWRF berhasrat dan telah bersedia untuk membina kerjasama lebih erat dengan kerajaan pimpinan semasa khususnya dalam sektor pendidikan.

“Jalinan kerjasama bidang pendidikan sangat penting demi kepentingan rakyat yang masih dihimpit pandemik COVID-19, yang secara langsung telah pun menjejaskan hampir semua aspek kehidupan.

“Semoga dengan terjalinnya ruang kerjasama ini, kita akan mampu mencari solusi terbaik bagi mengembalikan semula fokus pendidikan di landasan yang betul seiring dengan keperluan semasa para pelajar,” ujarnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas