Biz

Etiqa Takaful-YaPEIM lancar tiga produk baharu lindungi golongan B40

ZAFRI(empat dari kanan) , Parihah (tiga dari kanan) dan Hamzah (dua dari kanan) bergambar bersama pegawai-pegawai kanan Etika Takaful dan YAPEIM selepas Majlis Pelancaran Tiga Produk Etiqa Takaful di pekarangan Ar-Rahnu YaPEIM, Teluk Intan hari ini.
ZAFRI(empat dari kanan) , Parihah (tiga dari kanan) dan Hamzah (dua dari kanan) bergambar bersama pegawai-pegawai kanan Etika Takaful dan YAPEIM selepas Majlis Pelancaran Tiga Produk Etiqa Takaful di pekarangan Ar-Rahnu YaPEIM, Teluk Intan hari ini.
- Diterbit 29 Ogos 2019 9:51 AM MYT

TELUK INTAN – Kerjasama strategik  antara Etiqa Takaful dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sejak tahun lalu terus ditambah baik melalui penawaran tiga lagi produk baharu mampu dilanggan semua lapisan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Bhd. , Zafri Ab. Halim berkata, ketiga-tiga jenis produk baharu ditawarkan iaitu Kumpulan Mutiara PIusTakaful, Takaful Flexi PA dan Takaful Cash Care PA, mampu menyokong agenda meluaskan pelindungan takaful bagi semua kelompok rakyat terutamanya golongan B40.

Beliau berkata, sebagai penyedia perkhidmatan perlindungan insurans nasional terkemuka, Etiqa Takaful bercita-cita mendapatkan seramai mungkin rakyat Malaysia menerima perlindungan takaful melalui perkongsian strategik bersama dengan YaPEIM.

“Kami yakin penawaran produk mampu milik dan berbaloi dibelanjakan oleh kelompok rakyat akan memberi manfaat kepada 700,000 ahli termasuk pelanggan dan kakitangan YaPEIM dengan fokus segmen terbesarnya kelompok B40.

“Inisiatif ini antara usaha dan komitmen bersama Etiqa Takaful dan YaPEIM untuk terus memberi khidmat dan bantuan kepada golongan sasar dengan jangkaan RM1 juta nilai premium mampu dikutip dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tiga Produk Etiqa Takaful bersempena Jalinan Rakan Korporat Koperasi YaPEIM dan Etiqa di pekarangan Ar-Rahnu YaPEIM di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Utara Etiqa, Hamzah Alias.
Sementara itu, Parihah berkata, dengan sejumlah 212 cawangan Ar-Rahnu YaPEIM beroperasi di seluruh negara, membolehkan kedua-dua pihak menyantuni golongan akar umbi melalui tawaran produk yang kompetitif dan berbaloi untuk dilanggan.

“Selain kemudahan dan produk yang pelbagai, YaPEIM sentiasa komited menyediakan akses perkhidmatan yang terangkum meliputi semua golongan rakyat di peringkat akar umbi.

“Secara keseluruhannya, sejumlah RM9.2 bilion nilai pembiayaan telah dikeluarkan oleh YaPEIM melibatkan sebanyak RM14 bilion nilai marhun emas terkumpul,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas