Selebriti

Erti pengorbanan Sharifah Khasif

SHARIFAH mampu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran menggunakan pelbagai irama dan maqam taranum.
SHARIFAH mampu mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran menggunakan pelbagai irama dan maqam taranum.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:33 AM MYT

PERSONALITI agama, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, 37, mengakui dia sedaya upaya akan melakukan ibadah korban pada setiap tahun tanda pengorbanan terhadap agama sekali gus menghapuskan sifat tamak.

Kata wanita kelahiran Ipoh, Perak ini jika tidak melakukannya di kampung halaman dia akan mengupah korban di luar negara. Ia sebagai tanda sokongan dan bantuan tanpa mengira bangsa namun tetap dalam pendirian agama.

“Kalau nak tunggu mampu, pasti ramai yang merasakan ia berat tetapi kalau difikirkan sejenak, kita mampu membuat perkara lain tetapi agak berat apabila tiba masanya untuk melaksanakan ibadah yang satu ini.

“Seharusnya kita perlu merebut peluang ini. Korban ini adalah satu medium untuk menjadikan kita seorang yang bertakwa dengan meninggalkan apa yang dilarang dan ikut apa yang disuruh serta diperintahkan oleh agama,” ujarnya.

Bercerita tentang sambutan Hari Raya Korban tahun ini, dia bakal meraikannya seperti biasa disamping keluarga tercinta. Justeru kesempatan yang ada digunakan untuk meneliti dengan sedalam-dalamnya kisah disebalik peristiwa korban ini.

“Pada saya hari raya korban juga adalah sebagai fasa baharu untuk kita mengubah amalan kita. Contohnya jika sebelum ini kita hanya berpuasa dalam bulan Ramadan sahaja, apa kata selepas ini kita latih diri untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta hari-hari yang disunatkan.

“Jika difikirkan sejenak, Nabi S.A.W sanggup berkorban untuk menyampaikan agama Islam kepada umat-umatnya tetapi kita hari ini sanggup memilih kelas Zumba daripada menyertai kelas al-Quran,” ujarnya.

Menurutnya lagi, itu adalah ujian yang perlu ditempuhi baginya sebagai tenaga pengajar dan juga perjuangan ahli quran untuk mengajak serta mengajar masyarakat agar bersama-sama ke jalan dakwah.

Berbicara tentang perkembangan terkininya, johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 itu menubuhkan sebuah pusat Pengajian Seni Al-Quran di Rampai Business Park, Setapak, Kuala Lumpur.

Kelas tersebut terbuka kepada pelbagai peringkat umur seawal usia lapan hingga lapan puluh tahun. Fokus utama pusat tersebut adalah kepada seni Al-Quran dari sudut taranum dan tajwid. Namun bagi yang ingin menyertainya, perlu melalui ujian saringan terlebih dahulu.

Ditanya kos yang dilaburkan untuk menubuhkan pusat tersebut, menurutnya dia melaburkan sejumlah wang yang besar semata-mata untuk melahirkan generasi al-Quran yang bijak pandai dan disegani.

“Ini juga dikira satu pengorbanan. Saya tidak mengharapkan balasan tetapi gembira seandainya lebih ramai yang sudi mengikuti kelas bagi menyelami sendiri maksud ayat suci berserta keindahan seni taranum,” ujarnya.

Terbuka soal cinta

Hampir tiga tahun hidup bersendirian tanpa insan bergelar suami, wanita ini tidak pernah meletakkan istilah serik dalam berumahtangga.

Malah mengakui setiap insan punya keinginan untuk berkasih sayang termasuklah dirinya.

“Soal jodoh saya letakkan sepenuhnya kepada Allah. Memang betul perlu ada usaha tetapi dalam hati ini saya letakkan untuk memilih sesorang yang boleh bersusah-payah bersama-sama saya pada jalan dakwah.

“Jika Allah takdirkan bertemu insan seperti itu, Alhamdulillah. Jika kita harapkan cinta semata-mata, kita perlu sedar bahawa cinta manusia tiada yang kekal. Namun jika cinta kita bersama-sama kearah agama, Insya-Allah kekal sampai ke syurga,” ujarnya.

Menurut Sharifah, dia telah mengajar anaknya, Abeer Widad mengenal huruf jawi sejak dari usia empat tahun.

“Alhamdulillah dia semakin bijak. Namun saya akui bukan mudah untuk mendidik anak-anak membaca al-Quran dengan baik. Itu juga merupakan salah satu faktor mengapa saya terpanggil untuk membuka pusat pengajian al-Quran itu.

“Saya mengajar anak menggunakan Muqadam seperti mana saya pernah belajar sewaktu kecil dahulu. Bagi saya itu lebih mudah agar dia mengenali huruf satu persatu,” ujarnya yang menasihatkan ibu bapa di luar sana agar menerapkan amalan yang baik sedari anak kecil lagi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas