Atlet Wilayah

Erry Hidayat elak bahan terlarang

ERRY fokus dengan angkatan.
- Diterbit 25 Ogos 2020 10:26 AM MYT

SUKAN angkat berat seringkali dikaitkan dengan bahan terlarang. Jika tidak berfikir panjang, maka tidak mustahil ada yang sanggup menggunakan jalan pintas dengan mengambil dadah.

Memandang serius tentang hal tersebut, atlet angkat berat Wilayah Persekutuan dalam acara ‘clean and jerk’ bagi kategori 73 kilogram, Muhd. Erry Hidayat, 21, mengakui dia seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada terjebak.

“Sejak pertama kali menjejakkan kaki dalam sukan angkat berat, itulah perkara yang berulang kali diingatkan oleh bapa, Hidayat Hamidon. Saya tidak mahu mengecewakannya.

“Saya memilih untuk menjalani cara hidup sihat dan kalau boleh enggan mencalar nama baik serta rekod peribadi yang sekian lama saya jaga dengan baik,” ujarnya yang merupakan anak kepada bekas atlet angkat berat negara.

Pun begitu, kata Muhd. Erry dia amat berharap agar gejala tidak sihat seperti itu tidak terus merebak serta mencemarkan nama baik sukan angkat berat di Malaysia khasnya.

“Faktor disiplin adalah perkara yang sangat perlu dititikberatkan. Usaha keras pula perlu seiring bagi mencapai matlamat yang ditetapkan kerana setiap kejayaan memerlukan latihan jangka masa yang panjang,” katanya.

Sempat berkongsi tip persediaan sebelum bertanding, ujarnya dia akan mengambil makanan yang mudah hadam seperti coklat dan juga air tenaga untuk kekal cergas di atas pentas.

“Selain daripada itu, saya akan cuba mengelakkan rasa gentar kerana enggan memberi tekanan kepada diri sendiri,” ujar anak sulung daripada tiga orang adik-beradik ini.

Ingin menjulang nama Malaysia di peringkat antarabangsa seperti mana yang pernah dilakukan bapanya ketika Sukan Komanwel Kuala Lumpur (KL’98), dia yang kini berada di kedudukan
kedua Komanwel sentiasa fokus kepada angkatan sendiri ketika bertanding.

“Saya buat yang terbaik, selebihnya terpulang kepada rezeki pula,” katanya yang kini berlatih seminggu sekali memandangkan negara masih lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas