Berita

Era baharu Kebun Komuniti Bandar P16

|||||||
- Diterbit 13 November 2020 7:04 AM MYT

BERBAKTI kepada tanah pasti mendapat hasil. Bagi peserta Program Kebun Komuniti Bandar (KKB), hasil utama yang diperoleh bukanlah tanaman itu sendiri tetapi ketenangan dalam diri.

Ini kerana, aktiviti berkebun mampu menghilangkan semua perasaan dan aura negatif yang muncul selepas seharian penat lelah bekerja di samping tekanan ketika menghadapi kesesakan jalan raya.

Lebih menggembirakan apabila kebun komuniti yang keluasannya hanya sekangkang kera mula memberi imbuhan kepada peserta malah program tersebut bukan lagi sekadar menghasilkan tanaman sayuran secara ‘runcit’ dan dijual beli dalam kalangan penduduk setempat, ia kini mampu dikomersialkan.

KKB kini telah memasuki era baharu yang mana terdapat satu tanaman utama untuk dikomersialkan sekali gus membantu menambah sumber pendapatan peserta seperti yang dijalankan di KKB Presint 16 (P16), Putrajaya.

Menurut Pengerusinya, Md Naseer Md Isa, peserta terlibat sudah mula mengorak langkah untuk menjadikan buah markisa sebagai tanaman utama dan sumber pendapatan KKB P16 bermula tahun hadapan.

Ujarnya, kawasan penanaman juga telah disediakan di samping pembinaan trek dan ‘junjung’ untuk membolehkan tumbuhan tersebut menjalar serta berbuah.

“Apabila ia sudah menjalar dan memenuhi junjung, laluan di bawah akan menjadi redup dan cantik. Kita bukan hanya dapat mengutip hasil tetapi dapat menjadikan kawasan sekitar sebagai ‘instagrammable’, katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mengulas tentang perancangannya itu, Md Naseer berkata, hasilnya dijangka dapat dikomersialkan awal tahun hadapan kerana tempoh penanaman mengambil masa enam bulan.

Katanya, fokus utama yang ingin diketengahkan adalah jus markisa dan pihaknya juga  sedang merangka produk lain yang boleh dihasilkan menerusinya.

Ujarnya, pada masa ini, produk yang dihasilkan di KKB P16 adalah sayuran harian seperti kangkung, bayam, sawi, cili dan sebagainya.

“Kami tanam ikut kategori seperti tumbuhan yang boleh dituai setiap bulan dan yang memerlukan tempoh lama. Antara sayuran yang dituai dalam tempoh satu bulan adalah kangkung, bayam dan sawi. Bendi dan terung pula boleh dipetik selepas dua bulan manakala betik mengambil masa yang lama untuk membuahkan hasil,” katanya yang kembali mengusahakan kebun komuniti tersebut selepas beberapa tahun tergendala.

Menurut Md Naseer, KKB P16 sudah bermula sejak 2004 namun tergendala disebabkan sebahagian peserta terlibat pada masa itu berpindah dan bersara.

Ujarnya, ia kembali rancak pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu kerana penduduk sukar mendapatkan bekalan sayuran harian di samping kerjasama ahli baharu yang begitu komited.

“Terdapat lebih kurang 22 peserta aktif yang bergotong royong setiap Sabtu dan Ahad serta selepas waktu pejabat. Kawasan yang dipenuhi semak dan membahayakan penduduk kembali bersih dan ceria dengan tanaman sayuran.

“Malah, murid dari Tadika Permata berhampiran juga berpeluang mengenal buah secara nyata selain dapat mempelajari cara menanam sayuran.

“Guru di situ juga menjadikan aktiviti menanam dan menggembur tanah sebagai salah satu mekanisme pembelajaran,” jelasnya sambil berterima kasih kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) kerana menyediakan peluang seumpama itu termasuk kursus untuknya dan peserta yang lain.

Dalam pada itu, beliau menyatakan, biji benih dan anak pokok seperti terung, cili, petola, peria katak, kacang panjang renek serta timun turut dijual dengan harga sekitar RM5.

“PERTAMA sekali perlu minat dan selepas tanaman mengeluarkan hasil, kita akan merasa satu kepuasan. Saya mula terlibat dengan kebun komuniti ni sejak Perdana Menteri ketika
itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan konsep Bumi Hijau.

“Ia tetap diteruskan walaupun pemerintahan bertukar kerana saya rasa seronok dan dapat mengisi masa lapang. Insya-Allah, ia akan menjadi ‘pekerjaan’ saya selepas bersara nanti.”
ABD AZIZ ROD@JAMIL
Penjawat Awam

“BERKEBUN adalah terapi yang baik. Selain berbakti kepada tanah, diri kita juga mendapat hasil lumayan iaitu ketenangan diri dan kemudiannya adalah sumber makanan.

“Tanah rizab di Putrajaya yang masih kosong dan tidak dibangunkan wajar digunakan untuk kawasan berkebun, ia dapat membantu lebih ramai golongan pekerja khususnya kakitangan awam untuk ‘release tension’ selepas waktu pejabat.”
DR ABDUL JALIL HASSAN
Pakar Psikologi

“SAYA memang minat berkebun dan di hadapan blok saya pun ada kebun kecil bayam Brazil yang dijaga. Dengan adanya kebun komuniti ini, sayuran mudah diperoleh semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

“Oleh itu, saya berharap lebih ramai penduduk setempat untuk turut bersama-sama mengusahakan kebun komuniti ini. Ia untuk kegunaan kita bersama.”
NOR HUSNIZAR HUSSIN
Penduduk Blok A P16

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas