Berita

Enam pemain badminton sertai kejohanan di Sepanyol positif COVID-19

ENAM pemain badminton negara telah dihantar ke pusat kuarantin dan hanya akan kembali ABM selepas pemain yang bakal beraksi di Tokyo berlepas ke Jepun. Foto - NSTP
- Diterbit 5 Julai 2021 2:35 PM MYT

ENAM pemain badminton negara yang kembali ke Malaysia selepas menyertai kejohanan Spanish International 2021 baru-baru ini telah didapati positif COVID-19.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan ringkas di laman Facebook hari ini memaklumkan bahawa keenam-enam pemain tidak mempunyai gejala dan telah dihantar ke pusat kuarantin susulan keputusan ujian mereka yang positif itu.

“Sebaik pulang ke Malaysia, mereka telah menjalani kuarantin wajib seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa. Mereka belum menjejakkan kaki ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak pulang ke Malaysia dan tidak berinteraksi dengan pemain negara yang akan berangkat ke Olimpik Tokyo.

“Keenam-enam pemain hanya akan kembali ke ABM selepas pemain yang bakal beraksi di Tokyo berlepas ke Jepun. BAM mendoakan yang terbaik buat keenam-enam pemain dan semoga mereka cepat sembuh,” menurut kenyataan itu.

Malaysia diwakili 20 peserta pada kejohanan Spanish International yang berlangsung di La Nucia dari 16 hingga 19 Jun yang menyaksikan pemain badminton negara membawa pulang tiga kejuaraan.

Juara Sukan SEA 2019 S.Kisona mengenepikan pemenang kejohanan Remaja Dunia Goh Jin Wei dalam acara perseorangan wanita manakala Eoon Qi Xuan berjaya mara sehingga pertandingan separuh akhir.

Tee Kai Wun pula merangkul kejuaraan berganda apabila pemain berusia 21 tahun itu memenangi acara beregu campuran bersama Teoh Mei Xing sebelum berpasangan dengan Man Wei Chong untuk meraih kejuaraan dalam acara beregu lelaki. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas