Berita

Lima buah Rumah Panjang Taman Tun Dr Ismail musnah dijilat api

TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meninjau kebakaran di rumah panjang Taman Tun Dr Ismail, Bukit Kiara pada Isnin.
- Diterbit 10 Januari 2022 4:34 AM MYT

LIMA buah Rumah Panjang Taman Tun Dr Ismail, Bukit Kiara musnah dalam kebakaran, tengah malam tadi.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bergegas ke lokasi setelah mendapat maklumat berkenaan kejadian tersebut.

“Sebelum subuh tadi saya mendapat maklumat berkenaan kebakaran yang berlaku, dan saya terus ke kawasan kejadian sebelum ke pejabat.

“Saya menyampaikan sumbangan tunai awal kepada enam keluarga yang ditimpa musibah ini, dan tengah hari ini Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan menghantar barang-barang keperluan asas dan sedikit makanan kepada mereka semua,” tulisnya di Facebook.

Jelasnya, sebanyak lima buah rumah hangus terbakar 100 peratus, manakala sebuah rumah lagi terjejas dan sudah tidak boleh diduduki.

“Syukur alhamdulillah tidak ada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Jalaluddin telah meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi bantuan segera kepada enam buah keluarga yang terlibat.

“Pihak DBKL akan mengeluarkan surat tawaran untuk enam keluarga ini tinggal sementara di rumah transit sementara menunggu rumah mereka dibina semula.

“Insya-Allah saya bersama-sama pihak DBKL dan YWP akan membantu semua yang terlibat,” katanya yang berharap semua mangsa terlibat tabah dalam menghadapi dugaan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas