Berita

Empat lelaki mengaku tidak bersalah bunuh pesara Mardi dalam kejadian samun di rumahnya

EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh Wan Hassan dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas. Kredit foto oleh: BERNAMA/ Astro Awani EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh Wan Hassan dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas. Kredit foto oleh: BERNAMA
- Diterbit 6 Julai 2021 2:39 PM MYT

EMPAT lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Dr Wan Hassan Wan Embong, dalam kejadian samun di kediamannya, tahun lepas.

Pengawal keselamatan S. Vickeswaran, 23, penghantar surat P. Kogilan dan penganggur M. Ravindran, masing-masing berumur 24 tahun serta juruelektrik, T. Sugu, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa, ketika sebutan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh, dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi 29 Nov lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seorang daripada tertuduh, Ravindran juga mengaku tidak bersalah telah mencederakan isteri Wan Hassan iaitu Sarifah Yusof, 71, menggunakan sebilah parang di tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan, menggunakan parang dan tukul besi ke atas jurutera Mohd Muzaffar Zulkifli Martin, 34, membabitkan kerugian kira-kira RM38,000 di sebuah rumah di Taman Tiara Titiwangsa, Setapak di sini, pada tarikh sama antara 4.12 pagi dan 5.30 pagi, mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan.

Mahkamah menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan semula kes, dan prosiding perbicaraan kesemua kes itu ditetapkan pada 7 dan 11 Feb, 14 hingga 18 Feb dan 21 hingga 25 Feb tahun depan.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas