Berita

EMPAT FILEM MENYOROTI PERJUANGAN WARTAWAN

Kredit foto oleh: Solotrust
- Diterbit 6 Jun 2021 6:31 AM MYT

WARTAWAN berperanan penting sebagai jambatan maklumat kepada masyarakat. Siapa kata menjadi wartawan itu senang? Setiap kata dan tulisan seorang wartawan mampu mengubah persepsi masyarakat mengenai sesuatu isu. Profesion ini memerlukan anda untuk mencari berita serta menyiasat sebuah kes demi memberi maklumat kepada orang ramai. Belum lagi jika anda ditugaskan untuk membuat liputan di kawasan yang sedang berlakunya konflik, nyawa anda menjadi taruhan. Bermula 2018, tarikh 29 Mei setiap tahun diumum sebagai Hari Wartawan Nasional di seluruh negara. Edisi kali ini akhbar Wilayahku ingin membawa pembaca menyoroti dunia kewartawanan dalam industri filem yang memberikan kesan berbeza ketika ditonton.

#1 5Days of War

Pengarah: Renny Harlin
Pelakon: Andy Garcia, Val Kilmer, Richard Coyle

JUGA dikenali sebagai 5 Days of August dengan tema aksi ini adalah berdasarkan kisah benar mengenai seorang wartawan Amerika, jurukamera dan seorang wanita tempatan yang terperangkap di wilayah musuh. Para wartawan ini bertekad untuk tidak hanya bertahan, tetapi memberitahu dunia mengenai perkara yang berlaku selama lima hari perang menyedihkan antara Rusia dan Republik Georgia pada tahun 2008. Seorang wartawan AS Thomas Adress yang pernah meliputi suasana peperangan semasa perang Iraq sekali lagi turun padang bagi merakam perkara yang sedang berlaku di Georgia. Pertemuan dengan Avaliani semasa terperangkap dalam serangan udara memberi pengaruh besar dalam misi Thomas di mana dia memperoleh bukti kekejaman perang Rusia. Namun, orang Rusia tidak mahu dunia luar tahu mengenai kekejaman yang mereka lakukan. Kerja berbahaya Thomas juga semakin sukar apabila dunia seolah-olah menutup mata terhadap konflik yang sedang berlaku itu.

 

#2 The Post

Pengarah: Steven Spielberg
Pelakon: Meryl Streep, Tom Hanks, Sarah Paulson

THE Post merupakan filem Amerika Syarikat tahun 2017 yang berlatarbelakangkan awal tahun 1970-an. Menggambarkan kisah sebenar cubaan wartawan di The Washington Post untuk menerbitkan dokumen Pentagon Papers rahsia. Filem ini mengenai pertempuran antara pemerintah dan media yang bermula ketika penganalisis ketenteraan Daniel Ellsberg membocorkan Pentagon Papers, sebuah dokumen rahsia Amerika Syarikat yang mendedahkan pembohongan mengenai pembabitan AS dalam Perang Vietnam, kepada wartawan New York Times, Neil Sheehan.

#3 The Devil Wears Prada

Pengarah: David Frankel
Pelakon: Meryl Streep, Anne Hathaway, Stanley Tucci

FILEM yang berdasarkan sebuah novel karya Lauren Weisberger, mengisahkan kehidupan seorang wanita bernama Andy yang baru menamatkan pengajian dan bercita-cita menjadi seorang wartawan. Impiannya hancur apabila harus menjadi pembantu kedua kepada Miranda Priestly, ketua pengarang majalah fesyen terkenal di dunia, Runway. Walaupun tidak meminati fesyen, Andy tetap percaya bahawa bekerja di majalah Runway ini akan membuka peluang buatnya menjadi seorang wartawan terkenal. Walaupun filem ini menceritakan lebih banyak mengenai kehidupan Andy sebagai penolong ketua sebuah majalah, filem ini juga berjaya menceritakan kisah di sebalik glamor dunia fesyen serta kisah mengenai bagaimana wartawan majalah bekerja.

#4 Nightcrawler

Pengarah: Dan Gilroy
Pelakon: Jake Gyllenhaal, Rene Russo, Riz Ahmed

NIGHTCRAWLER ialah sebuah filem thriller Amerika Syarikat 2014 mengisahkan Lou Bloom, seorang penganggur yang menghabiskan masanya dengan mencuri besi dan menjualnya semula. Sehingga satu hari, satu kemalangan telah berlaku dimana Lou Bloom merupakan individu yang pertama berada di tempat kejadian. Mempunyai idea untuk membuat liputan mengenai kemalangan itu dan menghantar rakaman tersebut ke sebuah stesen TV membuatkan salah satu stesen TV tertarik dengan rakamannya lantas memberikan pekerjaan kepada Lou sebagai wartawan berita jenayah malam. Kegilaannya dalam mendapatkan hasil liputan yang bagus membuatkan Lou sering memperbaiki tempat kejadian serta melakukan penipuan untuk hasil yang lebih dramatik. Konflik timbul apabila dia menjadi saksi utama kes pembunuhan di kawasan elit Los Angeles. Filem ini berjaya memukau penonton dengan menyampaikan kisah di sebalik berita jenayah yang selalu dipampangkan di kaca TV mengenai betapa sukarnya untuk mendapatkan berita jenayah di mana seorang wartawan terpaksa berurusan dengan mayat serta kejadian tidak diingini bagi mendapatkan sebuah liputan yang baik. – WILAYAHKU- DIANA AMIR

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas