Berita

Empat beradik tangguh hasrat anjur pertandingan tarian singa memperingati bapa

- Diterbit 11 Februari 2021 3:37 AM MYT

AKUR dengan situasi pandemik COVID-19, empat beradik terpaksa menangguhkan hasrat menganjurkan pertandingan tarian singa untuk memperingati mendiang bapa mereka, Lee Kin Khoon, seorang jurulatih yang aktif dalam seni tari itu.

Mengakui berasa terkilan, namun Lee Rong Jiang, 33, Lee Her Shin, 30, serta pasangan kembar Lee Her Wei dan Lee Her Li, 26, menerimanya dengan hati terbuka kerana prinsip ‘kita jaga kita’ lebih penting bagi membendung penularan wabak itu.

Rong Jiang yang merupakan Presiden Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Xiang Long Kelantan (Xiang Long) berkata mengikut perancangan keluarganya, pertandingan yang diberi nama Piala Master Lee Kin Khoon sepatutnya diadakan setiap dua tahun sekali selepas ia dianjurkan buat pertama kali di pusat beli-belah Kota Bharu Mall di sini, pada Ogos 2019.

“Pertandingan ini khas kami anjurkan sempena memperingati mendiang bapa yang sangat aktif dalam seni tarian singa, malah ia juga bagi meneruskan legasi yang ditinggalkan bapa kepada kami supaya tradisi seni tari ini sentiasa diingati generasi akan datang.

“Di samping itu, pertandingan ini juga bertujuan menarik minat golongan muda serta mengajar mereka maksud sebenar tarian singa dalam kalangan masyarakat Tiong Hua,” katanya kepada Bernama, sambil memberitahu Piala Master Lee Kin Khoon 2019 mendapat sambutan memberangsangkan dengan 19 kumpulan tarian singa dari pelbagai negeri termasuk Kelantan menyertai pertandingan itu.

Bercerita lanjut, pengusaha kedai percetakan iklan itu berkata sejak bapanya meninggal dunia pada 14 Feb 2019, Rong Jiang telah menggalas tanggungjawab sebagai presiden serta jurulatih pertubuhan kebudayaan dan kesenian berkenaan yang diasaskan mendiang Kin Khoon, kira-kira sembilan tahun lepas.

“Bapa saya berkecimpung dalam industri ini semasa berusia belasan tahun lagi, malah beliau juga sangat mahir dalam seni lukisan dan kaligrafi Cina. Kemahiran dan pengetahuannya itu diajarkan kepada saya dan ketiga-tiga adik perempuan saya sejak kami berusia 10 tahun.

“Jadi, kami akan memastikan segala tunjuk ajarnya tidak disia-siakan serta Xiang Long bergiat aktif bukan sahaja di negeri ini malah seluruh negara bagi meneruskan legasi dan minat bapa terhadap seni tarian singa,” kata anak jati Kota Bharu itu.

Rong Jiang turut meluahkan perasaan kekok mereka sekeluarga menyambut Tahun Baru Cina kali ini apabila kumpulan tari Xiang Long tidak dapat ‘beraksi’ untuk melakukan persembahan tarian singa.

Beliau berkata kebiasaannya, Xiang Long sedang sibuk membuat persembahan di pelbagai pusat beli-belah di Kelantan dalam tempoh dua minggu sebelum perayaan itu hingga sambutan Chap Goh Mei.

“Setiap tahun kami menerima antara 30 hingga 40 tempahan dengan bayaran antara RM650 hingga RM1,200 dan boleh dikatakan kami kerugian hampir RM30,000 tahun ini apabila kerajaan memutuskan persembahan tarian singa tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Malah, saya juga rasa janggal kerana Tahun Baru Cina kali ini amat berbeza dan tidak semeriah dulu memandangkan ia tidak ‘diwarnai’ seni dan budaya yang biasa disambut berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Bagaimanapun, kami akur dan faham dengan keputusan kerajaan melaksanakan PKP sehingga terpaksa mengehadkan aktiviti lazim yang diadakan ketika perayaan ini demi keselamatan rakyat,” luahnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas