Berita

Elaun pembantu penyelidik siswazah naik ikut kelayakan akademik bermula 2021

- Diterbit 4 Februari 2021 7:11 AM MYT

ELAUN kira-kira 11,000 pembantu penyelidik siswazah (GRA) dalam skim pembiayaan Dana R&D MOSTI dinaikkan mengikut kelayakan akademik bermula tahun ini, demikian menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI dalam kenyataan hari ini memaklumkan elaun GRA Doktor Falsafah dinaikkan kepada RM3,200 manakala GRA Sarjana pula RM3,000.

Menurut MOSTI, pada 2006 sehingga 2020, siling elaun yang dibenarkan untuk dibayar kepada seorang GRA di bawah Dana R&D MOSTI adalah sebanyak RM2,500 sebulan untuk tempoh antara 18 hingga 36 bulan.

“Kadar elaun yang ditawarkan sebelum ini masih rendah berbanding jawatan lain dengan kelayakan akademik yang sama,” menurut MOSTI.

GRA bertanggungjawab untuk membantu penyelidik dan pensyarah melaksanakan tugas penyelidikan seperti melakukan kerja makmal, melakukan analisis, mengutip sampel di lapangan dan tugasan lain berkaitan projek penyelidikan.

Menurut MOSTI, empat dana penyelidikan MOSTI iaitu Dana Penyelidikan Strategik (SRF), Dana Pembangunan Teknologi 1 (TeD1), Dana Pembangunan Teknologi 2 (TeD2) dan Dana Bridging (BGF) menawarkan lantikan GRA dengan jumlah elaun yang spesifik mengikut tahap pengajian yang sedang dijalani.

Selari dengan kemahiran yang dimiliki oleh GRA, MOSTI menjelaskan elaun mereka perlu ditambah baik dengan mengambil kira kadar elaun semasa yang diterima GRA berbanding perkara seperti gaji permulaan termasuk elaun pegawai teknikal penyelidik dan sains yang bertaraf tetap.

Turut diambil kira ialah kadar inflasi mengikut kiraan Indeks Harga Pengguna dan taburan pendapatan isi rumah mengikut Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, Jabatan Perangkaan Malaysia, katanya.

“Hasrat utama MOSTI dan kerajaan adalah supaya projek-projek penyelidikan yang dilaksanakan di institut pengajian tinggi dan pusat penyelidikan kerajaan dapat menjadi platform dan pemangkin pertumbuhan ekonomi melalui penerokaan idea baharu, kualiti penyelidik dan GRA, perlu bergerak selari dengan visi serta misi yang dinyatakan serta memangkin penciptaan teknologi dan inovasi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas