Berita

Ekspresi seni di tembok batu

|AKMAL|FAKRI||||||||
- Diterbit 5 Disember 2020 4:30 AM MYT

SUARA dari tembok batu yang menarik perhatian kerana kecantikan dan juga mesejnya. Mural dan grafiti adalah seni baru yang kita lihat di sisi bangunan di bandar-bandar seluruh negara.

Seni lukisan dinding ini menjadi tarikan baru pelancongan dan menjadi tempat untuk orang ramai berselfie. Asalnya mural dan grafiti adalah suara anak muda yang tidak mahu didengari pihak penguasa, maka mereka  mula memberontak melalui seni.

Mereka menggunakan cat sembur untuk meluahkan perasaan. Mereka menggunakan dinding yang ada di lorong atau jalan untuk menunjukkan rasa ketidakpuashatian. Semuanya dilakukan kerana mereka mahukan kebebasan dan memprotes terhadap kehidupan yang sengaja diaturkan.

Mesejnya dipenuhi rasa marah dan tidak puas hati. Bagaimanapun, melalui pendekatan cakna suara rakyat, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan pertandingan mural dan grafiti untuk memberi ruang kepada anak-anak muda ini berkarya.

Apabila pelukis mural dan grafiti ini memaparkan unsur positif, maka lukisan itu mempunyai mesej yang mengangkat tema kasih-sayang, kehidupan, kemanusiaan, perpaduan, dan keamanan.

Mesej-mesej ini amat penting disampaikan kepada khalayak ramai untuk memberi kesedaran dan peringatan.

Bagi orang kebanyakkan seni mural dan grafiti adalah sama, iaitu lukisan di dinding bagaimanapun kedua-dua seni itu berbeza sama sekali.

Seni mural merujuk lukisan dinding cat minyak manakala grafiti menggunakan spray warna.

Sebuah mural dihasilkan menerusi lukisan digital terlebih dahulu sebelum ia dizahirkan di atas kanvas sebenar iaitu dinding sesebuah bangunan atau premis perniagaan.

Ada dua cara untuk memudahkan kerja menekap mural iaitu pertama menerusi ‘marking’ dan kedua, menggunakan pancaran projektor.

Bagaimanapun, kebanyakannya menggunakan teknik ‘marking’ kerana lebih mudah untuk artis menghasilkan sebuah karya yang tepat dengan subjek asal dilukis menerusi digital.

Manakala sebuah grafiti pula lebih ke arah ‘write’ (penulisan), ‘tag’ (signature) dan lukisan karakter di tembok menggunakan cat spray.

Seni grafiti memerlukan proses kreatif yang tinggi dan keupayaan teknikal yang mencabar dua aliran seni yang nampak sama tapi berbeza.

Baru-baru ini, Pertandingan Mural dan Grafiti Pasar Borong Kuala Lumpur diadakan bagi menceriakan tembok-tembok yang mengelilingi kawasan tersebut.

MOHD MUZAMMER

Timbalan Pengarah Kanan 1, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, inisiatif mencantikkan sekeliling tembok batu dilaksanakan bagi menambahkan keceriaan Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Pertandingan mural ini diadakan bagi membantu penggiat seni mural dan grafiti untuk mengekspresi karya seni.

“DBKL pula menyediakan kawasan yang bersesuaian dan kebetulan kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur perlu diceriakan, maka kawasan tersebut sesuai diadakan,” katanya kepada Wilayahku Isnin lalu.

Beliau yang juga Ketua Juri berkata, pihaknya bekerjasama dengan Komuniti Seni Mural dan Grafiti untuk mencari artisartis mural dan grafiti untuk pertandingan tersebut.

“Kami menyediakan tembok batu seluas 20 kaki x 7 kaki yang telah dicat putih untuk mereka selain turut menyediakan tiga tin cat untuk artis-artis yang terlibat.

“Kami mendapat penyertaan kira-kira 47 orang artis untuk dua kategori, mural dan grafiti yang dipertandingkan.

“Selain itu, juri yang dilantik adalah enam orang terdiri dari dua wakil dari Balai Seni Visual Negara serta empat orang artis mural dan grafiti yang berpengalaman,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas