Berita

Ekonomi Mexico diramal tumbuh 5 peratus pada 2021, kata Presiden

- Diterbit 9 Februari 2021 4:13 AM MYT

EKONOMI Mexico diramal mengalami pertumbuhan sebanyak lima peratus tahun ini, kata Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador pada Isnin, lapor Agensi Berita Xinhua.

“Ramalan paling konservatif ialah pertumbuhan 3.5 peratus. Saya menjangkakan kita akan berkembang lima peratus tahun ini, kita akan mampu mengatasi krisis ekonomi,” kata Lopez Obrador semasa sidang media hariannya.

Mexico, negara ekonomi kedua terbesar di Amerika Latin selepas Brazil, mengalami penguncupan 8.3 peratus pada 2020, prestasi terburuk sejak 1930-an, kesan daripada langkah pencegahan membendung wabak COVID-19.

Lopez Obrador berkata sejak memegang jawatan pada Disember 2018, Mexico tidak mengalami penurunan nilai mata wang secara mengejut dan inflasi masih dapat dikawal, walaupun kerajaan memperkenalkan langkah kenaikan gaji minimum.

Katanya, kiriman wang daripada warga Mexico yang tinggal dan bekerja di luar negara, menyuntik sebanyak US$40.607 bilion pada tahun lalu.

“Kita tidak lagi hilang pekerjaan sebaliknya, ia pulih pada Januari dan Februari,” katanya.

Tahun lalu, Mexico kehilangan 647,710 pekerjaan, sebahagian besarnya disebabkan wabak itu, menurut Institut Keselamatan Sosial Mexico (IMSS).

Setakat Ahad Mexico mencatatkan 1,932,145 kes COVID-19 dan 166,200 kematian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas