Berita

EKMAS terap budaya bersih di semua medan selera Putrajaya

FADLUN (tengah) menerima kunjungan ahli jawatankuasa tertinggi Penjaya yang diketuai Juhaidi (dua kanan) di Kompleks Perbadanan Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 3 Februari 2023 2:48 AM MYT

INISIATIF Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya (Penjaya) membudayakan kebersihan dalam kalangan pelanggan di medan selera disambut baik oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

Menurut Presiden Penjaya, Juhaidi Yean Abdullah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut menyokong pelaksanaan Ekosistem Kondusif Medan Selera (EKMAS) di tingkat atas Medan Selera Presint 8 serta sedia menimbang untuk memperluaskan program dengan meliputi kesemua empat medan selera yang terdapat sekitar Putrajaya.

“Sejak dilaksanakan pada November 2021 lalu, sekitar 30 peratus pelanggan didapati mematuhi EKMAS. Kita berharap akan lebih ramai lagi pelanggan yang dapat memberi kerjasama.

“Seperti semua sedia maklum, EKMAS merupakan program yang menggalakkan pelanggan menyisih dan membuang sisa makanan secara sukarela serta meletakkan pinggan, sudu dan gelas terpakai ke dalam troli yang disediakan.

“Ia adalah amalan biasa di restoran-restoran makanan segera manakala di negara-negara lain ada juga yang telah menguatkuasakan peraturan,” jelas beliau.

Tambah Juhaidi, Penjaya akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Singapura untuk mendalami sistem pengurusan, pematuhan peraturan serta penceriaan dan kawalan kebersihan di medan selera negara itu untuk diterapkan di Putrajaya.

Dalam pada itu, PPj menzahirkan kesediaan untuk menaik taraf medan selera di Presint 8, 9, 11 dan 16 bagi mempertingkat keselesaan pelanggan selain mengekalkan imej Putrajaya sebagai sebuah bandar raya bersih dan ceria.

“Kami teruja dengan komitmen yang diberikan pihak PPj. Antara yang dijanjikan adalah untuk menambah pencahayaan, mengecat semula dan membuka gerai-gerai jenama baru bagi menarik pelanggan untuk datang.

“Selain itu, aspek yang ditekankan oleh Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud juga bagus kerana semua pengusaha di medan selera dapat memastikan kualiti makanan dan tahap kebersihan berada pada tahap memuaskan,” ujarnya perkara tersebut dinyatakan oleh beliau semasa kunjungan hormat Penjaya di Kompleks PPj baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Presiden Perkhidmatan Bandar PPj, Nik Shukri Nik Soh; Pengarah Pelesenan PPj, Jeffri Mustapa; Timbalan Presiden Penjaya, Tengku Muhammad Sharifudin dan Setiausaha Penjaya, Siti Salma Laaria. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas