Berita

Edar kit Covid-19, pupuk kesedaran awam

SEBAHAGIAN sukarelawan mengagih Face Mask dan Hand Sanitizer
- Diterbit 23 Disember 2020 9:16 AM MYT

SEJUMLAH 600 kit COVID-19 diedarkan kepada orang awam di beberapa lokasi sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur sebagai usaha proaktif membudayakan norma baharu dalam kehidupan rakyat.

Pendekatan yang diambil Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dengan kerjasama pelbagai pihak secara langsung memberi ruang bagi memupuk kesedaran awam perlunya pematuhan SOP dalam usaha mencegah penularan pandemik berisiko itu.

Menurut Pengerusi Pemuda Kampung Baru, Ad Adib Salahuddin, seramai 20 sukarelawan terlibat dalam siri ketiga Kempen Pembudayaan Norma Baharu, Sumbangan Kit COVID-19 yang tertumpu kepada penduduk setempat sebagai menggalakkan amalan norma baharu demi kebaikan bersama.

Katanya, usaha dilaksanakan memberi impak apabila kadar pematuhan SOP dalam masyarakat semakin meningkat berbanding fasa sebelumnya dengan hampir keseluruhan warga mengguna pelitup muka semasa berada di tempat awam.

“Selain mengagih topeng pelitup muka dan cecair pencuci tangan, kempen ini medan mendisiplin setiap orang dengan budaya baharu kerana virus ini mampu dibendung serta diputuskan rantaian jangkitannya melalui penjagaan aspek kesihatan dan kebersihan yang betul.

“Jadi dengan ada kesedaran maka usaha kurangkan risiko jangkitan akan mampu dicapai, Insya-Allah boleh juga hentikan penularannya secara keseluruhan hasil tindakan kolektif kita,” katanya semasa ditemui dalam sesi agihan kempen itu.

Sementara itu, berdasarkan data pihak penganjur, sepanjang fasa pelaksanaan Kempen Pembudayaan Norma Baharu, Sumbangan Kit COVID-19 bermula awal November lalu, sejumlah lebih 3,000 kit telah disumbangkan kepada orang ramai pelbagai kelompok rakyat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas