Berita

Edar 500 akhbar Wilayahku setiap minggu, bantu komuniti cakna informasi

- Diterbit 25 Januari 2021 4:55 AM MYT

PENDEKATAN luar biasa seorang individu secara spontan menyapa sesiapa sahaja ditemui, lantas menghulur senaskah akhbar percuma, ternyata menarik perhatian orang ramai khususnya warga penduduk sekitar Wangsa Maju.

Bagi Suzairi Datuk Mohd Sukon, langkah tersebut diambil bertujuan berkongsi pelbagai maklumat dipapar akhbar Wilayahku setiap minggu dengan komuniti setempat supaya menjadikan mereka cakna dengan perkembangan terkini.

Katanya, perkara dilakukan itu dianggap berbaloi kerana pelbagai informasi terkini diketengahkan akhbar Wilayahku sebagai antara medium rasmi bagi warga Wilayah Persekutuan mengambil tahu perkembangan semasa atau sesuatu polisi yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti.

“Setiap minggu, sejumlah 500 naskah bercetak Wilayahku dihantar ke Wangsa Maju, yang boleh didapati secara percuma oleh orang ramai.

“Bagi memastikan warga mengambil maklum info dan polisi terkini ingin disampaikan sama ada oleh Kementerian Wilayah, agensi berkaitan mahupun Menteri sendiri, eloklah diedar kepada kelompok sasar supaya peluang serta kemudahan tersedia dimanfaat dan dihebah,” katanya yang telah pun tiga kali mengedar akhbar itu di pelbagai lokasi.

Suzairi, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ibu Kota serta sebagai AJK MPPWP Sub Zon 3, Wangsa Maju memaklumkan, selain diedar kepada individu, akhbar Wilayahku turut diberikan secara berkelompok terutama kepada Persatuan Penduduk, masjid dan surau berhampiran selain pejabat Biro Politik serta Pejabat MAPEMS.

“Kira-kira 20 persatuan atau organisasi menerima antara 20 naskah akhbar untuk bacaan ahli atau pengunjung yang hadir sebagai antara instrumen menyebar luas maklumat, jadikan warga Wangsa Maju ini cakna informasi semasa,” katanya yang merancang untuk terus agihan akhbar Wilayahku sebaik tamat tempoh PKP nanti. – SYAHIDI BAKAR – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas