Berita

e-Bazar dibatalkan sepenuhnya – Annuar

ANNUAR
- Diterbit 16 April 2020 8:14 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan membatalkan ketiga-tiga kaedah e-Bazar Ramadan yang diumumkan sebelum ini selepas mengambil kira beberapa faktor serta situasi semasa negara.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, keputusan itu juga atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan perbincangan senario semasa tentang keberkesanan kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19 serta masalah yang timbul.

“Sebelum ini ada buat pengumuman e-Bazar Ramadan (8 April) dan saya terangkan kepada persatuan penjaja pada 12 April lepas.

“Jadi MKN setelah membuat ‘presentation’ tentang ketiga-tiga konsep gantian iaitu drive thru, pack and pick, e-hailing, MKN berpendapat untuk mentiadakan bazar Ramadan,” katanya semasa sesi siaran langsung di Facebook rasminya sebentar tadi.

Ekoran keputusan MKN itu juga, Annuar menyatakan, kesemua program yang dicadangkan kementeriannya termasuk Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut dibatalkan sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau berharap warga kota dapat menikmati bulan Ramadan dalam suasana yang lebih berhati-hati selain memohon keberkatan supaya masalah yang dihadapi masa ini dapat ditangani sebaik mungkin.

Terdahulu, beliau menerusi laman Twitternya memaklumkan, MKN memutuskan tiada bazar Ramadan termasuk tiga kaedah yang diumumkan sebelum ini.

“Setelah mengambil kira pelbagai faktor dan situasi semasa, MKN memutuskan tiada apa jua bentuk bazar Ramadan termasuk drive thru, pack and pick, e-hailing yang dicadangkan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkhidmatan pesan dan penghantaran melalui sistem e-hailing sahaja dibenarkan selepas mesyuarat Kabinet pagi tadi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas