Berita

DVS halang kemasukan babi dari negara berisiko

DVS halang pengimportan babi dari negara berisiko seperti China. - Gambar hiasan DVS halang pengimportan babi dari negara berisiko seperti China.
- Diterbit 1 Julai 2020 2:10 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengambil tindakan pencegahan penyakit rentas sempadan daripada memasuki ke dalam negara.

Tindakan tersebut dilaksanakan menerusi larangan pengimportan dari negara terjangkit dan berisiko dijangkiti di samping pemantauan serta pemeriksaan babi atau produk babi dari negara berisiko serta kempen kesedaran kepada penternak.

DVS dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya juga menjalankan latihan kesiapsiagaan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti simulasi serta survelan klinikal dan pensampelan terus di semua ladang babi komersial termasuk babi hutan.

Menurutnya, tindakan itu susulan Virus G4 EA H1N1 yang baru dikenalpasti di China adalah hasil mutasi strain H1N1pdm09 yang bersifat lebih patogenik dan berbahaya serta tidak boleh dicegah melalui vaksin sedia ada.

“Swine Influenza virus H1N1 (SIV H1N1) adalah virus avian influenza yang telah beradaptasi dan bermutasi menjadi virus babi.

“Terdapat 3 strain H1N1 yang telah dikenalpasti iaitu SIV H1N1, H1N1pdm09 virus dan G4 EA H1N1.

“SIV H1N1 adalah virus influenza yang biasa dijumpai dalam babi dan sangat endemik bagi negara pengeluar seperti Amerika, Mexico dan China. Virus ini menyebabkan jangkitan pada babi dengan kadar morbiditi yang tinggi tetapi kematian yang rendah selain bersifat sangat hos spesifik serta jarang menyebabkan jangkitan pada manusia,” jelasnya.

DVS memaklumkan, pada 2009, virus influenza swine subtip yang baharu, iaitu novel 2009 H1N1 Pandemic (H1N1pdm09 virus) dijumpai pada manusia di negara Mexico yang mana ia mempunyai kandungan genetik berbeza.

Tambahnya, strain H1N1pdm09 virus sangat merbahaya dan bersifat zoonotik serta boleh menjadi pandemik namun boleh dikawal melalui pemberian vaksin ‘seasonal flu’ H1N1 pada manusia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas