Berita

Dunia terkejut, situasi pusat kuarantin Malaysia terbaik

INDIVIDU yang dikuarantin boleh berada di hotel.
- Diterbit 11 April 2020 11:29 AM MYT

PUTRAJAYA – Disaat segelintir pesakit dan individu yang perlu menjalani tempoh kuarantin tidak berpuas hati, dunia terkejut melihat perkhidmatan dan keadaan pusat kuarantin yang terbaik disediakan di Malaysia.

Ini kerana, mereka yang dikuarantin boleh berada di hotel mewah selain pusat kuarantin yang disediakan turut menyediakan kemudahan terbaik termasuk perkhidmatan jalur lebar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, terdapat dua jenis pusat kuarantin yang disediakan kerajaan iaitu untuk tempatan dan transit.

Jelas beliau, bagi pusat kuarantin tempatan, mereka yang terlibat adalah individu yang berhubung dengan kes positif dan terdapat 458 kes di Wilayah Persekutuan.

“Mereka ini berada di Hotel Lotus, Majlis Sukan Negara (MSN), Akademik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa lokasi lain.

“Bagi pusat kuarantin transit pula, ia disediakan untuk rakyat Malaysia yang duduk di luar negara dan balik semula ke sini. Mereka diwajibkan kuarantin selama 14 hari di beberapa hotel iaitu Grand Plaza (97 kes), iBis KLCC (609), iBis Styles Pudu (300), KL International (140), Impiana (295) dan Dorsett Putrajaya (108),” katanya dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

Menurut Annuar, kerajaan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik, keselesaan serta kepuasan kepada setiap pesakit dan individu yang dikuarantin termasuk warga asing di zon merah.

Justeru beliau menyeru kepada golongan berkenaan supaya bersabar selain menyatakan keadaan Malaysia jauh lebih baik dari negara luar yang sedang berhadapan dengan situasi sama.

“Kita tidak boleh berharap perkara berlaku secara perfect (sempurna) atau sepenuhnya mengikut selera kita,” tegasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas