Berita

Dulu supra, kini bahasa Melayu terkebelakang

BARISAN panel mendengar lontaran soalan daripada moderator.
- Diterbit 22 November 2019 9:56 AM MYT

DEMI menyemarakkan rasa cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini, Dewan Bahasa Pustaka (DBP) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) menganjurkan forum ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ di Dewan Seri Melati, Kompleks PPj pada 15 November lalu.

Bertemakan Perpaduan Bangsa Melalui Bahasa Kebangsaan, tiga panel khas yang berwibawa iaitu Penyandang Kursi Za’ba Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan; Mantan Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Sarjit Singh Darshan Singh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Fadzil serta moderator yang juga pengacara RTM, Khairul Hafez Yunus @ Hamid ditampilkan bagi membicarakan topik berkenaan.

Forum selama dua jam yang bermula pukul 9.30 pagi itu memperdebatkan hal-hal berkaitan bahasa kebangsaan, isu dan hubung kaitnya dengan perpaduan bangsa di negara ini.

PESERTA forum mendengar dengan teliti isu bahasa yang dibincangkan panel.

Antara perkara yang menjadi fokus utama adalah bagaimana untuk mempertingkatkan martabat bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan terutama dalam kalangan masyarakat setempat pada masa ini berikutan penggunaan bahasa Inggeris sering diutamakan dalam pelbagai aspek.

Menurut Awang, kedudukan bahasa Melayu pada masa dahulu adalah bersifat Supra iaitu merentas dunia dan dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tetapi pada era 90-an, ia ditukarkan kepada bahasa Malaysia atas tujuan politik kerana mahu mempopularkan bahasa tersebut kepada semua kaum di negara ini.

AWANG

“Bahasa Melayu sepatutnya menjadi utama seperti China yang meletakkan Mandarin sebagai bahasa pertama di negara mereka walaupun mempunyai 63 etnik yang mengamalkan pelbagai dialek atau bahasa.

“Ini kerana mereka membina konsep Supra pada bahasa tersebut. Mengambil contoh Thailand, negara jiran ini maju dalam bahasa kebangsaannya,” katanya ketika disoal tentang kedudukan bahasa Melayu pada masa ini.

Bagi Sarjit Singh pula, bahasa Melayu sukar dimajukan di negaranya sendiri adalah kerana majoriti masyarakat bersifat etnosentrisme iaitu orang-orang etnosentris menilai kelompok lain relatif terhadap kebudayaannya sendiri, khususnya bila berkaitan dengan bahasa, perilaku, kebiasaan, dan agama.

SARJIT SINGH

Ujar beliau, lebih merumitkan adalah masyarakat Malaysia juga memperjuangkan bangsa masing-masing dan tindakan itu akan menyebabkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sukar dicapai.

Justeru, beliau mencadangkan supaya semua universiti mewajibkan lima jurnal dikeluarkan dalam bahasa Melayu iaitu tiga dalam bidang sains dan dua lagi teknikal kerana sukar untuk mendapatkan rujukan dalam kedua-dua bidang tersebut.

“Di mana peranan Sarjana Sains dalam memperkayakan bahasa Melayu? Pada saya, ahli akademik sendiri tidak yakin tentang bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu kerana kebanyakan rujukan dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, Fahmi menyatakan, masyarakat tidak mempunyai contoh yang baik dalam penggunaan bahasa Melayu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan ikon bahasa perlu diwujudkan dalam kalangan anak muda namun ia perlu dilakukan secara berhati-hati supaya tidak kelihatan ‘skema’.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas