Berita

Dua sekatan jalanraya di Labuan

||
- Diterbit 17 Oktober 2020 5:53 AM MYT

POLIS Labuan melaksanakan dua lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Pulau Bebas Cukai itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Labuan bermula hari ini sehingga 30 Oktober.

Seramai 28 anggota polis dan 12 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut dibantu enam anggota Rela telah ditempatkan di kedua-dua SJR yang beroperasi 24 jam.

MUHAMAD FARID

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya telah melaksanakan SJR di Jalan Mustafa dan Jalan Patau-Patau bermula jam 8 pagi hari ini.

“Kita akan memeriksa setiap kenderaan (persendirian) bagi memastikan hanya dua orang sahaja dibenarkan bagi satu kenderaan dan bagi yang keluar bekerja mereka dalam sektor perkhidmatan perlu (essential service) menunjukkan pass kerja atau surat kebenaran majikan.

“Jika ada terdapat lebih daripada dua orang dalam sebuah kenderaan tidak dibenarkan dan kita akan arahan mereka untuk patah balik,” katanya kepada pemberita ketika meninjau SJR di Jalan Mustapa, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan walaupun tiada had masa pergerakan namun pihaknya akan menasihatkan kepada mereka agar tidak keluar rumah jika tiada keperluan.

“Kita menasihatkan orang awam agar tidak keluar pada waktu lewat malam memandangkan kesemua kedai dan restoran hanya beroperasi sehingga jam 10 malam sahaja.

Jelasnya lagi, pihaknya akan mengekalkan operasi pemantauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di sekitar kawasan bandar dan luar bandar bagi memastikan masyarakat terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas