Berita

Dua pelajar IPT sebak dibantu YWP

MUHAMMAD Qayyum menunjukkan komputer riba yang diterimanya baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2022 4:36 AM MYT

KEPRIHATINAN Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengurangkan beban dua pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tidak mampu memiliki komputer riba mengundang sebak pelajar terbabit.

Rasa syukur tidak putus-putus dizahirkan oleh Muhammad Qayyum Haqim Norazli, 18, apabila dia terpilih untuk menerima bantuan tersebut baru-baru ini.

“Alhamdulillah kesukaran saya untuk menyiapkan tugasan yang diberi pensyarah berkurangan. Selama ini saya hanya menggunakan telefon bimbit atau meminjam komputer riba rakan,” ujarnya yang berjanji akan menggunakannya sebaik mungkin.

Kongsinya kepada Wilayahku, perasaan malu terpaksa dibuang jauh semata-mata ingin berjaya dalam pelajaran seterusnya mengubah kehidupan.

“Mujurlah kawan-kawan semua memahami kesusahan hidup saya selain dalam masa yang sama,
saya amat bersyukur kerana masih mempunyai telefon bimbit biarpun ia tidak canggih,” ujar pelajar
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini sebak.

ABU Sufian (kanan) menerima bantuan wang tunai menerusi Bantuan Awal IPT daripada YWP, baru-baru ini.

Turut berkongsi perasaan yang sama, Abu Sufian Abu Bakar, 20,juga tidak menyangka permohonan
Skim Bantuan Awal IPT berupa wang tunai secara one-off diterima sekali gus membantunya membiayai pengajian.

“Permohonan saya diluluskan. Saya juga diminta oleh pihak YWP untuk datang menerima bantuan tersebut pada majlis penyerahan di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana, Wangsa Maju, baru-baru ini.,” katanya.

Tambah pelajar semester satu jurusan ekonomi, Universiti Malaya ini, segala perbelanjaan di universiti ditanggung oleh abang dan kakak memandangkan ayahnya telah meninggal dunia sementara ibunya seorang suri rumah.

“Bantuan ini amat membantu menambah sedikit kewangan yang ada untuk membiayai kos tertunggak selain dijadikan wang tambahan untuk perbelanjaan di universiti,” jelas anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini.

Terdahulu, sesi penyerahan sumbangan komputer riba dan Skim Bantuan Awal IPT disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas