Berita

Dua lelaki melepak ditahan langgar PKP

ANGGOTA polis menahan dua lelaki yang melepak di kawasan awam di Ujong Pasir semalam.
- Diterbit 27 Mac 2020 7:47 AM MYT

LABUAN – Polis menahan dua lelaki ekoran melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan awam Ujong Pasir di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian pada pukul 10.20 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan melakukan pemantauan di kawasan tersebut.

“Ketika pemantauan dijalankan, polis menahan dua lelaki berusia 30-an dan 40-an yang sedang duduk melepak di kawasan awam terbuka.

“Semua suspek memberikan alasan tidak munasabah mereka berada di lokasi itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Labuan kerana melanggar PKP di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Kedua-dua suspek jika disabitkan hukuman boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua- duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang awam agar sentiasa mematuhi PKP dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar arahan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas