Berita

Dua lelaki didakwa miliki harta rompak, wang tunai RM1 juta

- Diterbit 23 Oktober 2020 8:33 AM MYT

DUA lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki harta rompak, iaitu wang tunai RM1,033,200 milik seorang ahli perniagaan, minggu lepas.

Peniaga pasar Teh Han Shyang, 31, dan pemandu perkhidmatan e-hailing Lok Jun Siang, 40, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mereka didakwa dengan curang memiliki wang tunai RM1,033,200 milik Eng Ching Huang, 36, yang mereka ketahui atau ada sebab munasabah untuk mempercayai bahawa wang tunai tersebut adalah harta dari hasil rompakan berkumpulan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di parkir Arkadia Desa Park City, Kepong, di sini, pada 2.30 petang, 16 Okt lepas, mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun Teh yang diwakili peguam Khairulamin Abdullah memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya adalah penanggung utama keluarga.

“Tertuduh membantu ibunya berniaga di pasar, jaminan yang ditawarkan pendakwaan adalah amat tinggi…Tertuduh belum didapati bersalah serta dia tidak akan melarikan diri,” kata Khairulamin.

Peguam Nor Azri Mohd Arif yang mewakil seorang Lok juga memohon jaminan rendah, dengan alasan jumlah yang ditawarkan pendakwaan adalah diluar kemampuan anak guamnya.

“Anak guam saya telah berkahwin dengan seorang wanita warga China dan isterinya itu tidak bekerja… Sejak Covid-19 melanda negara, pendapatan anak guam saya sebagai pemandu Grab juga terkesan,” katanya.

Mahkamah membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali, di Balai Polis Wangsa Maju bagi Teh dan Balai Polis Cheras bagi Lok.

Sebutan semula kes ditetapkan 10 Dis depan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas