Berita

Dua kes baharu Covid-19 direkodkan KKM

- Diterbit 15 Februari 2020 8:19 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan dua kes baharu jangkitan Coronavirus Diease 2019 (Covid-19) yang membabitkan dua warga China.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan dua kes tersebut, jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 21 kes.

Jelasnya, penambahan itu menjadikan 11 kes dalam kalangan kes Patient Under Investigation (PUI) jangkitan Covid-19, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan misi bantuan kemanusiaan, daripada jumlah tersebut, 15 kes adalah warga China manakala enam kes melibatkan warga Malaysia.

“Kes ke-20 adalah seorang lelaki berusia 27 tahun yang tiba di Malaysia pada 1 Februari lalu bagi urusan perniagaan. Pada 12 Februari dia telah ke Thailand dan kembali semula ke Malaysia pada 13 Februari sebelum dikesan mengalami demam menggunakan thermal scanner semasa melalui Pintu Masuk Darat Antarabangsa Malaysia-Thailand.

“Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada hari sama dan ujian saringan pengesanan Covid-19 disahkan positif, semalam.

“Bagi kes ke-21 pula, seorang wanita warga China berusia 32 tahun yang berkahwin dengan warga Malaysia dan menetap di negara ini mempunyai sejarah perjalanan ke China pada 22 hingga 30 Januari untuk melawat keluarganya.

“Pada 13 Februari, dia mengalami gejala sakit tekak dan kemudiannya dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut yang mana ujian saringan pengesanan Covid-19 disahkan positif, semalam. Dia kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas