Dua juta dos vaksin diperlukan untuk sektor pembinaan – Fadillah
MENTERI Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya giat melaksanakan proses imunisasi pekerja sektor itu menerusi Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) di bawah CIDB, satu program kerjasama kerajaan dan swasta untuk mempercepat pengambilan vaksinasi golongan itu. Kredit foto: Bernama

Dua juta dos vaksin diperlukan untuk sektor pembinaan – Fadillah

INDUSTRI pembinaan dianggarkan memerlukan dua juta dos vaksin bagi memastikan semua pekerja dalam sektor itu mendapat imunisasi terhadap COVID-19, sekali gus dapat kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata berdasarkan rekod terkini terdapat hampir satu juta personel binaan berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), dengan 70 peratus daripadanya adalah warga tempatan manakala 30 peratus warga asing.

Fadillah berkata pihaknya giat melaksanakan proses imunisasi pekerja sektor itu menerusi Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) di bawah CIDB, satu program kerjasama kerajaan dan swasta untuk mempercepat pengambilan vaksinasi golongan itu.

“Buat permulaan program CIVac ini telah diperuntukkan 80,000 vaksin untuk 40,000 personel binaan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) untuk personel binaan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) CIVac di Pusat Konvensyen CIDB bermula hari ini yang turut disertai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

Fadillah berkata CIDB telah membuka pendaftaran vaksin untuk semua personel binaan di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada 21 Jun lalu dan semua slot telah habis ditempah dalam tempoh kurang 24 jam, sekali gus menunjukkan penggiat industri amat prihatin dan bersedia memastikan pekerja mereka divaksin.

Berikutan sambutan baik terhadap CIVac itu, Fadillah berkata pihaknya  akan memohon tambahan 200,000 dos vaksin lagi untuk 100,000 personel binaan daripada JKJAV untuk fasa kedua program di Pulau Pinang, Johor dan Pahang.

Jelasnya PPV untuk CIVac di Selangor pula akan dibuka di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada 14 Julai ini, manakala bagi Sabah dan Sarawak, pihaknya sedang membuat kajian dan melihat kesiapsiagaan kedua-dua negeri itu sebelum program itu diperluaskan ke sana.

Bagi memudahkan pemain industri, Fadillah berkata pihaknya bersama CIDB juga akan membentangkan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) berhubung cadangan mengadakan pusat vaksinasi di tapak projek binaan atau tempat tinggal pekerja.

Menerusi CIVac, pihak swasta perlu menyediakan dan membiayai sendiri pasukan petugas dan pegawai perubatan bertauliah serta PPV, manakala bekalan serta penghantaran vaksin akan diberikan secara percuma oleh kerajaan. — BERNAMA

 

CATEGORIES