Dr. Luqman terima nota tugas Mufti Wilayah Persekutuan
ZULKIFLI menyerahkan nota terima tugas Mufti Wilayah Persekutuan kepada Luqman di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Dr. Luqman terima nota tugas Mufti Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA – Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) , Dr. Luqman Abdullah sah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) pada Mac lalu oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Zulkifli yang memegang jawatan Mufti Wilayah Persekutuan selama enam tahun hari ini mengadakan majlis serah terima tugas secara ringkas di pejabatnya pagi ini.

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga dikurniakan kekuatan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan agar dapat melaksanakan amanah dengan sebaik mungkin.

“Saya amat yakin, Sahibus Samahah Dr. Luqman mampu untuk memimpin institusi fatwa di Wilayah Persekutuan yang memberi manfaat besar kepada umat Islam,” katanya dalam laman Facebooknya.

Zulkifli berkata, pengalaman enam tahun memegang jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan telah memberi pengalaman baharu yang amat bermakna kepadanya.

“Saya mohon maaf kepada semua umat Islam di Wilayah Persekutuan dan Malaysia amnya sekiranya terdapat tutur kata, tindakan mahupun apa jua salah dan silap sepanjang enam tahun sebelum ini. ⁣

⁣”Saya mengucapkan tahniah Kepada Sahibus Samahah Dr. Luqman, siru ‘ala barakatillah,” katanya.

Luqman yang dilahirkan pada 12 September 1969 di Kampung Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan merupakan lulusan Sarjana Muda Syariah UM dan pernah mengikuti pengajian undang-undang perbandingan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari tahun 1994-1995.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor di Universiti Edinburgh, Scotland pada tahun 2005 dalam bidang Undang-undang Harta Islam.

Beliau merupakan salah seorang panel utama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dari 2013 hingga 2016.

Jawatan terakhir beliau adalah Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam UM. – WILAYAHKU

CATEGORIES