Biz

DPIM, Prestige Acres sasar 10,000 usahawan pembangunan tanah

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen sempena MoU program TanahPro antara Ketua Pegawai Eksekutif Prestige Acres Sdn Bhd, Abdullah Abdul Rashid (tengah) dengan Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Nor'ashikin Taib di Cyberjaya baru baru ini.
- Diterbit 11 Mac 2023 4:17 AM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya telah mengadakan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Prestige Acres Sdn Bhd bagi menjayakan program TanahPro yang mensasarkan seramai 10,000 usahawan pembangunan tanah dilahirkan menjelang tahun 2030.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, langkah tersebut diadakan bagi mendorong orang ramai terutamanya bumiputera muslim menyertainya kerana mempunyai ruang dan potensi yang besar untuk diterokai.

“DPIM menyokong apa juga bentuk inisiatif berkaitan dengan tanah dan hartanah melalui pelbagai program secara tersusun dan berterusan.

“Melalui kaedah yang digunakan termasuk mengadakan kursus, kerjasama dengan pihak agensi kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi serta pihak-pihak berkepentingan seperti jurutera, juru ukur dan persatuan-pesatuan berkaitan agar sasaran akan dapat dicapai.

“Misalnya dua acara MoU yang diadakan pada hari ini adalah sebahagian daripada aktiviti yang digerakkan ke arah mencapai matlamat 10,000 usahawan yang terdiri daripada pelbagai kategori.

“Mereka boleh memilih bidang mengikut minat dan kemahiran seperti menjadi ejen hartanah, kontraktor pembinaan dan pemaju perumahan, serta lain-lain kerjaya yang terlibat. Bidang pembangunan tanah dan hartanah ini sangat luas dan marginnya juga antara yang tertinggi dalam industri,” ujarnya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen sempena MoU program TanahPro antara Ketua Pegawai Eksekutif Prestige Acres Sdn Bhd, Abdullah Abdul Rashid (tengah) dengan Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Nor’ashikin Taib di Cyberjaya baru baru ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis Peluang Menjadi Agen Hartanah Profesional yang diadakan di Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurut Khanafi lagi, selain menyokong program dan aktiviti pembangunan hartanah, pihaknya akan berperanan sebagai jambatan kepada agensi dan kementerian berkaitan,

“Selain aktiviti menggalakan penyertaan orang ramai seperti hari ini, DPIM akan mengadakan perbincangan lebih lanjut dan memperhalusi langkah-langkah susulan yang akan dilakukan agar maklumat ini dapat disebar luas dan disampaikan dengan jelas terutama kumpulan sasar,” katanya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (dua dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Prestige Acres Sdn Bhd, Abdullah Abdul Rashid (dua dari kiri), Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Nor’ashikin Taib (tengah) bersama kakitangan syarikat berkaitan di Cyberjaya baru-baru ini.

Pada majlis tersebut telah berlangsung , MoU pertama di antara DPIM Putrajaya yang diwakili setiausahanya, Sartika Dewi Sahat manakala Prestige Acres Sdn. Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdullah Abdul Rashid.

Menurut Abdullah, melalui program yang bakal diadakan, pihaknya akan memfokuskan kepada 14 negeri melalui perlesenan secara latihan, seminar, dan aktiviti seperti ekspo.

“Program pertama yang akan diadakan Land Development Masterclass pada June 2023 dan maklumat berkaitan akan dikemas kini bagi memberi peluang sesiapa yang berminat menyertainya kerana kami menyediakan tenaga bertauliah dan professional sebagai pembimbing,” ujarnya.

Pada majlis yang sama juga turut berlangsung MoU kedua antara Prestige Acres Sdn. Bhd. dengan Marvel Management Communication (MMC) Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarah Urusannya Datuk Nor’ashikin Taib.

MMC dilantik menjadi penganjur utama untuk majlis, seminar, dan program berkaitan program TanahPro.

Nor’ashikin berkata, selain sasaran melahirkan 10,000 usahawan pembangunan tanah dalam tempoh tujuh tahun lagi, MoU tersebut sejajar dengan saranan Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang telah di lancarkan pada tahun 2019.

“Program yang dirancang juga adalah inisiatif bagi mewujudkan lebih ramai usahawan pembangunan tanah dilahirkan untuk melonjakkan industri ini terutama bagi pemilikan tanah dan pembinaan perumahan.

“Dalam masa yang sama membolehkan harga pemilikan tanah dan rumah baharu pada harga lebih mampu milik diperkenalkan pada masa akan datang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas