Berita

DPIM-MUSIAD teruskan kerjasama tingkat aktiviti perdagangan

Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (tiga dari kiri) diiringi ahlinya menyampaikan cenderamata kepada Presiden MUSIAD Malaysia
- Diterbit 4 September 2022 9:17 AM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Persatuan Perindustrian dan Perniagaan Bebas Muslim Turkiye (MUSIAD) Malaysia dalam usaha mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin di sini baru-baru ini.

Pengerusinya Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, dalam pertemuan kira-kira dua jam itu, mereka membincangkan pelbagai isu semasa termasuk pandemik COVID-19 dan isu perdagangan produk halal ke negara Eropah.

“Sebaik sahaja sempadan dibuka selepas hampir dua tahun aktiviti antara DPIM dan MUSIAD tergendala di sebabkan pandemik COVID-19, kedua-dua pihak kini telah bersedia untuk merancakkan kembali aktiviti perdagangan.

“Tujuan utama kunjungan kali ini membawa misi yang lebih besar apabila DPIM yang menjalin kerjasama dengan World Integrated Supply Ecosystem Sdn Bhd (WISE) mengadakan perbincangan dengan pihak MUSIAD Malaysia yang mewakili usahawan dari negara Turkiye untuk mengeksport produk mereka terus ke pasaran Eropah.

“Hasil perbincangan yang positif menyakinkan kami, langkah membawa lebih banyak produk buatan Turkiye ke pasaran Eropah menjadi kenyataan berdasarkan kepada kemampuan WISE.

“WISE merupakan sebuah syarikat tempatan bertaraf global dengan mempunyai rangkaian niaga antarabangsa bagi pasaran di negara-negara Eropah terutama import dan eksport produk makanan halal dan DPIM akan menjadi perantarannya,” ujarnya ketika ditemui selepas kunjungan tersebut.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin (tiga dari kiri) diiringi ahlinya menyampaikan cenderamata kepada Presiden MUSIAD Malaysia, Sabri Yardimci (dua dari kanan) dalam pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi DPIM Putrajaya, Jamal Jermi dan Pengarah WISE, Baryusamzlino Abdul Jabar.

“Dalam pertemuan kali ini, wakil WISE telah memperincikan mengenai kaedah yang digunakan untuk mengeksport produk halal terutama makanan dan minuman ke negara Eropah seperti kejayaan mereka mengeksport lebih 100 produk halal dari Malaysia , antaranya produk keluaran Marigold, Yeos, Malaya Pop, F& N dan Brahim.

“Selain itu, bersandarkan kepada faktor kewangan yang kukuh, WISE akan memastikan produk dari Turkiye diterima baik di sana seperti trek rekod mereka membawa pelbagai produk dari Thailand, Indonesia, Vietnam, Korea, Jepun, China dan Iran yang mempunyai sijil halal sebelum ini,” katanya.

Presiden MUSIAD Malaysia, Sabri Yardimci yang menyambut kunjungan tersebut berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kedatangan DPIM yang membuka peluang kepada lebih ramai usahawan Turkiye membawa masuk produk mereka ke Eropah.

“MUSIAD mempunyai 12,000 keahlian dengan 138 cawangan di seluruh dunia termasuk di termasuk Jerman, Perancis, United Kingdom (UK) dan Itali.

“Malah terdapat hampir enam juta penduduk Turkiye di UK sahaja. Sehubungan dengan itu peluang yang dibuka DPIM ini akan diperhalusi dan dibincangkan lebih lanjut,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MUSIAD Malaysia, Mustafa Karaduman yang turut hadir menjelaskan usahasama ini dilihat memperbahrui hubungan baharu kepada MUSIAD yang telah mengenali DPIM hampir 10 tahun yang lalu.

“Misi perdagangan DPIM yang membawa ahli-ahlinya ke ke Eskpo Pameran dan Perdagangan Global anjuran MUSIAD di Turkiye pada tahun 2016 adalah bukti kami menyakini kemampuan mereka dan menerima kerjasama ini dengan tangan terbuka.

“Kami juga mengalu-alukan penyertaan DPIM pada tahun ini sekali lagi apabila MUSIAD akan menganjurkan Ekspo yang sama di Pusat Pemeran, Konvensyen dan Kongres, Tuyap Istanbul bermula 2 hingga 5 Nov hadapan.

Ekspo peringkat dunia ini akan disertai lebih 100 buah negara dengan kehadiran deligasi dari seluruh dunia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas