Biz

DPIM cadang terminal khas haji dibina

IBADAH haji mungkin terpaksa dibatalkan sekiranya wabak Covid-19 masih terus melanda dunia. - Gambar hiasan
- Diterbit 25 Julai 2019 11:05 AM MYT

PUTRAJAYA – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mencadangkan agar kerajaan membina terminal khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk kemudahan jemaah haji dan umrah pada masa hadapan.

Presiden DPIM Pusat, Muhammad Sahar Mat Din berkata, pihaknya yakin projek tersebut boleh dilaksanakan melalui projek pembiayaan swasta (PFI) dan ahli-ahli dewan perniagaan berkenaan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pembangunan terminal berkenaan jika diberikan peluang.

‘’Kami mempunyai ahli seramai 2,000 orang terdiri dalam kalangan usahawan di seluruh negara termasuk 10 syarikat tersenarai di bursa saham.

“Berdasarkan kepada keahlian daripada pelbagai latar belakang perniagaan termasuk syarikat-syarikat yang kukuh dan dinamik, rancangan menubuhkan terminal khas jemaah haji dan umrah mampu menjadi kenyataan,” ujarnya baru-baru ini.

Muhammad Sahar berkata, terminal khas berkenaan bukan sahaja penting untuk mengendalikan urusan jemaah haji dan umrah malah dapat menempatkan pegawai Jabatan Imigresen, wakil Kedutaan Arab Saudi dan membuka peluang perniagaan.

‘’DPIM yakin pembinaan terminal khas itu bukan sahaja memudahkan urusan jemaah haji tempatan malah mampu menjadi hab terminal jemaah dari negara jiran,’’ ujarnya.

Pada masa ini syarikat tempatan, Dagang NeXchange Berhad (DNeX) yang merupakan ahli DPIM diberi kepercayaan menyediakan kemudahan lokasi dan jaringan komunikasi untuk inisiatif Road to Makkah bagi jemaah Malaysia dan Indonesia pada tahun ini.

Projek perintis Road to Makkah dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif tersebut dilancarkan sepenuhnya tahun lepas untuk kira-kira 65,000 jemaah Malaysia dan Indonesia.

Road to Makkah merupakan satu sistem prapelepasan haji kelolaan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan perjalanan jemaah ke Mekah. Di bawah inisiatif itu, cap jari jemaah haji akan diambil dan pasport mereka dicop di nega­ra di mana jemaah berlepas.

Kemasukan jemaah ke Arab Saudi juga dipermudah se­perti penerbangan domestik manakala bagasi akan dihantar terus ke penginapan mereka.

Tahun ini sebanyak 12 kaunter Imigresen Arab Saudi ditempatkan di KLIA termasuk dua kaunter untuk golongan orang kurang upaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas