Berita

“Doakan Orang Sakit Amalan RASULULLAH SAW” – MAS ANIZAN

|MAS Anizan berharap Kita semua saling mendoakan antara sesama muslim
- Diterbit 9 November 2020 10:00 PM MYT

DALAM Islam, selain menjaga hubungan dengan Allah iaitu hablumminallah, kita juga dituntut agar memelihara ikatan silaturrahim sesama manusia atau hablumminannas.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, seorang sahabat bernama Abdullah Bin Umar menuturkan bahawa Sa’ad bin Ubadah sedang sakit.

Ketika baginda masuk dan menemui keluarga Sa’ad bin Ubadah, baginda bertanya, “apakah dia sudah sembuh?”

Keluarganya menjawab, “belum, wahai Rasulullah.” Rasulullah saw pun menangis mendengarnya.

Begitulah Rasulullah saw yang terlalu mementingkan hubungan sesama manusia.

MAS Anizan berharap Kita semua saling mendoakan antara sesama muslim

Bagi pelakon Mas Anizan,47, melawat orang sakit juga selalu diamalkannya kerana ia sedikit sebanyak mengurangkan beban pesakit.

“Melawat orang sakit ini adalah untuk memberikan kasih sayang kepada pesakit dan keluarganya. 

“Iyalah.. keprihatinan kita kepada pesakit membuatkan dirinya berasa disayangi dan dihargai. Ini secara tidak langsung kita menaikkan semangatnya untuk cepat sihat,” kata Mas Anizan kepada Wilayahku.

Pelakon drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta ini juga tetap mendoakan kesejahteraan orang yang sakit apabila tidak berkesempatan melawat.

“Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh melawat orang sakit kerana dibimbangi berlakunya penularan wabak COVID-19 yang pastinya akan memudaratkan. 

“Oleh itu, kita masih boleh hubungi pesakit atau keluarganya untuk memberikan kata-kata semangat.

“Apa yang penting, selalulah berdoa. Doakan orang sakit juga amalan Rasulullah SAW. Lagi pun doa itu senjata orang Islam.

“Menurut Riwayat al-Bukhari, antara doa Rasulullah SAW adalah seperti ini, ‘hilangkanlah penyakitnya, wahai Rabb manusia. Sembuhkanlah. Engkaulah maha penyembuh. Tiada kesembuhan selain kesembuhan daripadaMu. Kesembuhan yang tidak mendatangkan  penyakit lagi.

“Ini adalah antara doa yang kita boleh amalkan untuk mendoakan orang sakit terutamanya mereka yang sedang berjuang melawan COVID-19,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas