Berita

Diskaun 50 peratus bagi pemajak tanah Persekutuan terjejas COVID-19 – Shamsul Anuar

DISKAUN tersebut adalah daripada nilai pajakan tahunan kepada pemajak yang memenuhi kriteria ditetapkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Gambar: BERNAMA DISKAUN itu adalah daripada nilai pajakan tahunan kepada pemajak yang memenuhi kriteria ditetapkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan. Gambar: BERNAMA
- Diterbit 19 Julai 2021 6:30 AM MYT

PEMAJAK tanah Persekutuan terlibat dalam sektor yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 boleh menikmati diskaun kadar pajakan sebanyak 50 peratus tahun ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata kadar diskaun itu adalah daripada nilai pajakan tahunan kepada pemajak yang memenuhi kriteria ditetapkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Inisiatif ini diharapkan dapat membantu pemajak untuk menyusun semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah-tanah Persekutuan di samping mengelakkan tanah-tanah tersebut daripada terbiar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sekiranya pemajak tidak memenuhi kriteria yang membolehkan pengurangan kadar pajakan diberikan, pemajak boleh mengemukakan permohonan penjadualan semula bayaran pajakan bagi tahun ini kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta dikecualikan denda lewat.

Kerajaan Persekutuan melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh memajak tanah Persekutuan kepada pihak lain berdasarkan Seksyen 221 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dengan menandatangani perjanjian pajakan mengikut tujuan yang dibenarkan dan dikenakan bayaran pajakan secara tahunan.

Bagaimanapun, ekoran pandemik COVID-19 kerajaan Persekutuan prihatin dengan beban dihadapi oleh pemajak-pemajak tanah Persekutuan yang terdiri daripada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan pelabuhan.

Shamsul Anuar berkata kesemua sektor ini adalah sektor paling teruk terjejas dengan COVID-19 dan memerlukan masa untuk kembali stabil.

Oleh itu, kerajaan Persekutuan  bersetuju memperkenalkan inisiatif pemberian diskaun  tersebut bagi membantu pemajak tanah Persekutuan yang terlibat dalam sektor yang terjejas teruk. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas