Berita

Dinolove FC juara KLWFC 2021

PASUKAN Dinolove FC sejurus diumumkan sebagai juara baru-baru
- Diterbit 8 Januari 2022 12:00 PM MYT

DINOLOVE FC tampil juara dalam aksi final Kejohanan Liga Bola Sepak Wanita Kuala Lumpur menewaskan KL Sunbears 1-0 hasil jaringan tunggal Henrietta Justine pada minit ke-24 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras baru-baru ini.

Kemenangan tersebut memaksa KL Sunbears akur sebagai Naib Juara pada kejohanan ini.

Sementara itu, Setiawangsa Rangers FC pula berjaya menewaskan Hypernova Girls FC dengan keputusan penuh 4-2 hasil jaringan hatrik dari Nurul Izzah Abdul Razak minit ke-7, 14 dan 54 dan Khairani Syuhada Abdul Rahman minit ke-11 sekali gus berada di tempat ketiga.

Dalam pada itu, pasukan Hypernova Girls FC juga turut menjaringkan gol pada minit ke-31 dan minit ke-44 yang disempurnakan Shahida Hassan dan Nur Ezza Asyikin.

Pengurus KLWFC 2021, Khushairi Aizad turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan pertandingan bola sepak wanita edisi pertama tersebut.

“Objektif utama pertandingan ini untuk mencungkil bakat-bakat baru seterusnya membantu melahirkan lebih ramai pemain-pemain bola sepak dalam kalangan wanita.

“Diharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang sekali gus membantu membina karier dalam bidang sukan yang disukai ramai ini,” ujarnya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob; Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar serta Pengarah Urusan Arcadin Services Sdn Bhd, Datuk Che Azizuddin Che Ismail.

Terdahulu, juara memenangi wang tunai RM2,000; naib juara (RM1,000); ketiga, RM500 dan tempat keempat, RM400. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas