Berita

Difitnah Rogol Gadis Sehingga Trauma, DAI SYED Buat Laporan Polis

- Diterbit 24 November 2020 11:36 AM MYT

PENDAKWAH dan penyanyi muda, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Twitter, @ainunnnajwa yang Didakwa memfitnahnya merogol seorang gadis.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor sekitar jam 5.45 petang tadi, susulan pemilik akaun berkenaan mendakwa rakannya mengalami trauma selepas menjadi mangsa rogol pendakwah itu. 

Kesal dengan tuduhan berkenaan, Syed, 25, berkata, laporan polis itu dibuat untuk membersihkan nama baiknya, selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas itu.

“Tuduhan itu terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya. Saya terkejut dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi selama menjadi pendakwah.

“Saya memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut kerana dakwaan itu mencemarkan nama baik saya,” katanya menerusi sebuah kenyataan rasmi. 

Dalam masa yang sama, Da’i Syed menganggap fitnah merogol ini dugaan paling berat diterimanya sepanjang bergelar pendakwah dan anak seni. 

“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ia mencalarkan maruah saya dan keluarga. Saya anggap kontroversi ini sebagai dugaan dalam saya menjalankan tanggungjawab untuk menyalurkan mesej Islam,” katanya lagi.

Semoga semuanya dapat diselesaikan dengan cara baik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas