Berita

“Dia anggota biasa, tapi kematiannya luar biasa”

Luahan pegawai kanan polis hilang anak buah undang sebak
FADZIL menyerahkan panji Sang Saka Biru kepada Muhammad Ismail selepas pengebumian jenazah Safwan pagi semalam. Gambar Polis Selangor
- Diterbit 4 Mei 2020 5:12 PM MYT

SHAH ALAM – Luahan hati Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat yang kehilangan anak buahnya, Koperal Safwan Muhammad Ismail ternyata meruntun jiwa.

Fadzil menceritakan perjalanan beliau mengiringi jenazah Safwan dari Hospital Serdang ke Perak seperti diarahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin.

Beliau berkata, sebaik tiba di tanah perkuburan di Tanjong Rambutan kira-kira pukul 5.30 pagi, hatinya mula sayu melihat ahli keluarga Safwan terutamanya bapa Allahyarham, Sarjan Bersara Muhammad Ismail (bekas anggota VAT69)

“Tuan-tuan dan puan-puan ada anak…saya ada anak. Kita semua ada anak…dan ini anak beliau (Muhammad Ismail)

“Semasa van jenazah sampai, beliau minta kebenaran menatap wajah anaknya yang telah kaku dan sudah dikapankan di Hospital Serdang.

“Sebagai seorang bekas anggota, amat tertib cara beliau bila bercakap dengan pegawai atasan. Dia dah sakit, tapi digagahnya juga untuk bercakap sebagai seorang anggota yang meminta izin daripada pegawainya. Saya benarkan,” katanya dalam coretan yang diberikan kepada media hari ini.

Fadzil berkata, air matanya menitis sebaik melihat Muhammad Ismail mengusap wajah Safwan sambil bertasbih menguatkan semangat diri.

Katanya, ketika itu beliau terasa amat sebak malah tidak tahu apakah perasaan ayah Safwan ketika diserahkan Panji Sang Saka Biru.

“Di bawah panji itulah beliau membesarkan sembilan anaknya dan bawah panji ini juga seorang ankanya dikembalikan semula kepada Allah Azzawajalla.

“Tapi beliau masih lagi mendakap panji pasukan yang saya sampaikan dengan wajah berjuta rasa, terketar-ketar menahan sebak.

“Akhirnya jenazah dikebumikan sewaktu azan Subuh mula dilaungkan. Satu demi satu wajah bapa, ibu dan lapan orang adik-beradik yang sedang duduk dalam jarak ‘sosial distancing’ saya perhatikan..wajah mereka masing-masing menceritakan berjuta sayang dan rindu mereka kepada arwah,” katanya.

Luah Fadzil, Safwan kini menjadi bukti kesetian tugas anggota polis kepada negara.

“Beliau anggota biasa tetapi kematiannya luar biasa. Ketika ada antara kita yang sedang lena diulit mimpi bersama keluarga sedang arwah di medan menjemput mara,” katanya yang turut memberi semangat kepada anggota polis lain.

Safwan, 31, anggota Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang meninggal dunia selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS, awal pagi kelmarin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas