Selebriti

“Dia ada masa saya sedih” – Fieya Julia jatuh cinta pada kawan baik

|LAGU Halusinasi adalah kisah cinta Fieya Julia yang menyukai kawan baiknya.
- Diterbit 29 September 2021 4:33 AM MYT

KITA selalu terdengar kisah seseorang jatuh cinta pada kawan baik sendiri, namun akhirnya kecewa kerana hubungan itu hanya sekadar friend zone.

Begitulah yang dialami oleh penyanyi Fieya Julia yang pernah menyukai kawan baik sendiri dan kisah tersebut diabadikan dalam lagu terbaharunya berjudul Halusinasi.

Menurut Fieya atau nama sebenarnya, Nur Syafiyah Sejali, 22, lagu Halusinasi yang dicipta pada Ogos 2020, adalah berdasarkan kisah benar tentang perasaannya ketika itu dan lirik disiapkan dalam tempoh sehari.

“Masa cipta lagu tu saya tengah alami siuasi tu, saya sedang layan sendu. Inspirasi dapat melodi lagu ini dari mimpi. Agak pelik tapi memang saya dapat melodi lagu ini daripada mimpi.

“Saya bangun daripada tidur dan terus rekod melodi yang dapat dari mimpi dan ubah-ubah sikit dan jadilah melodi Halusinasi.

“Sebenarnya, lagu ini menceritakan tentang diri saya sendiri juga. Waktu muda ni, kita sering salah anggap cara orang layan kita.

“Dalam hati mesti tertanya-tanya, dia ni layan lebih, suka kat aku ke atau sebaliknya? Lagu ini sebenarnya kisah kita terjatuh cinta dengan kawan sendiri, pada hal kita tahu dia adalah kawan kita sendiri. Dan kita pula terletak harapan lebih kepada kawan tersebut,” jelas Fieya yang mengaku situasi ini pernah terjadi kepada dirinya.

Menurut Fieya, kebaikan lelaki tersebut membuatkan hatinya terpikat.

“Halusinasi mengisahkan tentang saya berkawan dengan seorang lelaki ini yang selalu ada untuk saya tapi dia selalu juga menghilang.

“Dia akan ada masa saya sedih dan hilang masa saya dah gembira. Lelaki itu hanya akan berada di sisi saya tatkala saya memerlukan dia.

“Sebenarnya lelaki itu nak berada di sisi saya sebagai kawan, tapi saya tersalah anggap dan ingatkan dia layan saya sebab suka dan beri perhatian.

“Sebenarnya tak, dia caring sebab dia hargai sebagai kawan dan mahu jadi seperti kawan yang bermakna untuk saya,” cerita Fieya tentang isi hatinya sebelum terciptanya lagu Halusinasi.

Berdasarkan pengalamannya itu, Fieya nasihatkan orang lain supaya jangan cepat berharap pada orang yang berbuat baik. Ini kerana berkemungkinan dia berbuat baik kerana menghargai persahabatan dan bukannya cinta.

Jelas Fieya, rakaman lagu Halusinasi dilakukan di studio Wan Saleh, komposer yang mencipta lagu Penantian untuk lagunya sebelum ini.

LAGU Halusinasi adalah kisah cinta Fieya Julia yang menyukai kawan baiknya.

Rakaman lagu tersebut tidak sampai lima jam kerana sebelum memasuki studio rakaman, Fieya terlebih dahulu membuat latihan.

“Masa rakaman ada juga feel yang tak sampai tapi dibantu oleh orang yang buat susunan lagu itu dan abang Wan Saleh juga, senang la.

“Cara saya nak menjiwai lagu itu, selalunya saya akan letakkan diri dalam situasi lagu tersebut supaya dapat feel sedih serta gembira dan senang untuk menjiwai lagu itu.

“Halusinasi merupakan single keempat Fieya yang bergenre balada. Kalau boleh, biarlah orang kenali Fieya sebagai penyanyi balada sebab belum puas lagi kerana tak ramai lagi yang mengenali Fieya Julia sebagai penyanyi lagu balada.

“Sekarang ini ramai yang ingat saya penyanyi lagu rock sebab saya banyak buat cover song genre begitu.

“Orang lebih mengenali saya daripada cover song. Ada juga yang tahu lagu saya tapi tak tahu penyanyi. Belum puas hati dalam indsutri ini, saya nak dikenali sebagai penyanyi balada,” katanya yang berharap lagu Halusinasi terus digemari ramai.

Lagu Halusinasi, ciptaan sepenuhnya oleh Fieya, dimuat naik di saluran YouTube Aries Music sejak 27 Ogos lalu dan hingga kini telah mencecah tontonan sehingga 118,738K pada 27 September lalu.

Sebelum ini, nama Fieya melonjak naik menerusi lagu Perasaanku, ciptaan Amir Hariz yang diterbitkan pada 2018 serta mendapat 45 juta tontonan di YouTube, malah lagu tersebut juga diangkat sebagai lagu tema drama Semua Salahku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas