Artikel

Di sebalik kontroversi Sidang Kemuncak KL

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bergambar bersama Presiden
- Diterbit 27 Disember 2019 4:29 AM MYT

SAYA merasakan bahawa segala persoalan dan kontroversi tentang Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Summit) yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini haruslah difahami oleh warganegara kita dari semua peringkat dan kaum.

Sungguhpun sidang kemuncak tersebut diadakan untuk para intelektual dan pemikir serta pimpinan negara Islam tetapi hubungannya amat rapat dengan pembangunan kemanusiaan dan pembangunan negara-negara yang berteraskan Islam.

Hal ini saya tekankan kerana Malaysia yang merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama telah membuktikan kekuatannya dengan perpaduan kaum dan toleransi agama.

Ini mempunyai hubungan dengan tema sidang kemuncak itu untuk menstabilkan pembangunan negara Islam secara lebih bertamadun dan makmur agar negara Islam dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan industri serta keamanan dunia umumnya.

Ternyata bahawa sidang yang membicarakan tentang kekuatan pemerintahan dan pembangunan moden ini lebih menekankan tentang kesepaduan perdagangan dan peningkatan industri serta ekonomi negara-negara Islam sendiri, di samping menegakkan kesepaduan dan kerjasama, sebagai satu kumpulan negara yang kaya dan mempunyai agenda pembangunan yang lebih bersepadu dan kuat.

Malah sidang itu tidak bertujuan untuk membangkitkan tentang kemelut perpecahan ummah mengenai perbezaan mazhab amalan agama dan penyelewengan akidah atau syariah yang sering menjadi punca pertikaian umat Islam selama ini dan sering juga membawa kepada peperangan dan pembunuhan sesama sendiri.

Sebaliknya sidang ini lebih menumpukan kepada perbincangan tentang ekonomi dan industri, pendidikan dan pembangunan umat yang lebih maju serta tamadun dan peradaban umat manusia yang seharusnya di bangunkan dalam era globalisasi ini.

Restu

Sidang ini juga mendapat restu Yang di-Pertua Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah yang berkenan merasmikan pembukaan acara tersebut manakala Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan majlis penutupannya.

Perdana Menteri telah lama berbicara tentang gambaran sarwajagat Islam yang mantap dan keperluan kepada kemampuan ilmu pengetahuan serta teknologi dan pembangunan negara yang kuat

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah merangka pokok perbincangan tentang kerjasama antara negara-negara Islam yang menghadiri sidang ini iaitu Malaysia, Iran, Turki dan Qatar serta para perwakilan dari negara-negara lain.

Bidang yang ditekankan dalam membentuk kerjasama itu adalah sains dan teknologi, perdagangan dan pembangunan ekonomi dan pendidikan holistik serta lapangan ilmu semasa yang menjadi nadi pembangunan manusia moden pada masa kini.

Perdana Menteri telah lama berbicara tentang gambaran sarwajagat Islam yang mantap dan keperluan kepada kemampuan ilmu pengetahuan serta teknologi dan pembangunan negara yang kuat.

Malah tidaklah terlalu sukar untuk dilaksanakan perancangan bersama negara Islam, ketika Tun Mahathir berbicara tentang penggunaan mata wang dinar sesama negara Islam sesama sendiri ketika diperlukan dan ketika umat Islam mampu untuk melaksanakannya ketika tiba masa yang sesuai.

Sultan Nazrin sendiri ada membangkitkan beberapa isu yang perlu ditangani segera oleh umat Islam umpamanya pelarian perang yang mengalami kepelbagaian derita yang dianggarkan oleh Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Perang berjumlah kira-kira 26 juta. Amat malang apabila kira-kira 10 juta pelarian itu merupakan rakyat dari negara-negara majoriti umat Islam sendiri.

Negara Islam seharusnya dapat mencari kesepakatan bagi mengelakkannya dari awal atau memberikan perlindungan yang sewajarnya tanpa bergantung kepada negara lain.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim merupakan bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan dan bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas