Selebriti

Di luar kawalan… Ifa Raziah mohon maaf

- Diterbit 30 Mei 2023 1:16 PM MYT

SELEBRITI serba boleh, Ifa Raziah, 47, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors Event Sdn Bhd memohon maaf berikutan tersebarnya video seorang wanita menari secara tidak sopan dan menjolok mata di program anjuran mereka di Melaka, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan kepada media, pihaknya memohon maaf kepada kerajaan negeri Melaka dan rakyat Malaysia di atas kekhilafan yang berlaku itu.

“Kami telah dihubungi pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) susulan aduan orang awam kepada pihak JAIM berkaitan tarian tidak sopan dan menjolok mata dalam konsert yang merupakan salah satu acara di StarVendors Foodstival Melaka 2023 yang berlangsung baru-baru ini. Kami telah menjelaskan kepada pihak JAIM bagaimana insiden ini telah terjadi.

“Insiden tersebut adalah tidak disengajakan dan ia berlaku tanpa pengetahuan pihak Starvendors. Segala gerak tari oleh pelaku di atas pentas adalah di luar kawalan kami.

“Untuk pengetahuan, mereka tiada kaitan mahupun mewakili syarikat kami. Oleh itu dengan rasa rendah diri, kami ingin memohon maaf secara terbuka kepada Kerajaan Negeri Melaka dan seluruh rakyat Malaysia khususnya, di atas kekhilafan yang berlaku,” katanya.

Ifa juga menjelaskan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang agar kejadian yang sama tidak berulang lagi.

“Pihak kami akan mengambil perhatian sewajarnya atas aduan ini dan komited untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi pada masa hadapan.

“Kami sangat berterima kasih diatas teguran yang berikan kepada kami. Ianya sebuah teguran yang sangat baik untuk kami ambil perhatian,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas