Berita

Dhabitah, Wendy serasi bersama

SKUAD terjun tunjuk pingat emas selepas menjuarai acara 3 meter
- Diterbit 12 Disember 2019 4:27 AM MYT

Oleh Muhamad Nabeel
[email protected]

KUALA LUMPUR – Gan­dingan hebat atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee merupakan percaturan yang tepat apabila mereka berjaya menyumbang emas keempat buat skuad terjun negara di Sukan SEA ke-30 Manila, Filipina.

Mengulas tentang kemenangan meraih emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita, Dhabitah, 20, berkata, keserasian mereka adalah antara penyumbang dalam kejayaan di temasya itu.

“Kami sudah lama beraksi bersama, jadi telah faham tentang persamaan serta kekurangan masing-masing. Disebabkan itu, kami cuba memperbaiki segala kelemahan.

“Secara peribadi, saya sangat bersyukur dengan gandingan ini. Ia adalah sesuatu yang amat istimewa,” ujar atlet Wilayah Persekutuan ini.

Sementara itu, menurut Wendy, 26, dia amat bersyukur dengan apa yang diperoleh sungguh pun tidak dapat mengatasi catatan peribadinya.

“Terjunan saya masih lagi baik dan berada di temasya ini adalah satu penghargaan yang tidak terhingga le­bih-lebih lagi dapat menyumbang pingat emas,” ujarnya.

Wendy berjaya menyumbang pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita dengan catatan 298.90 mata mengatasi seorang lagi penerjun negara, Jasmine Lai Pui Yee dengan catatan 241.95 mata.

Prestasi cemerlang yang ditunjukkan pasangan yang berasal dari Kuala Lumpur ini berjaya merekodkan 270.60 mata sekali gus mengatasi pasangan dari Singapura, Fong Kay Yian dan Ashley Tan (228.06) serta pasangan Thailand, Surincha Booranapol dan Ramanya Yanmongkon (208.14).

Lebih manis, mereka berjaya mempertahankan pingat emas yang dimiliki dalam edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Terdahulu gandingan Chew Yiwei dan Oii Tze Liang juga turut menyumbang pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki bagi skuad terjun negara apabila merekodkan 398.16 mata mengatasi pasangan Thailand (244.76) dan pasangan Singapura (340.53).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas