Utama

DBKL, Tokyo jalin kerjasama, sasar rendah karbon 2030

DATUK BANDAR KL
NOR HISHAM (kanan) melihat lakaran awal kawasan di Kuala Lumpur yang akan dinaiktarafkan pada Majlis Pelancaran Kolaborasi Tokyo - Kuala Lumpur " Low Carbon System" di sini hari ini. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 23 Ogos 2019 9:54 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Metropolitan Tokyo (TMG) akan bekerjasama bagi mencapai sasaran Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kerjasama tersebut juga akan menekankan strategi untuk dilaksanakan seperti yang terkandung di dalam pelan berkenaan.

Jelas beliau, menerusi jalinan kerjasama itu juga DBKL dapat melihat insiatif bandar-bandar lain yang berjaya dalam pengurusan perubahan iklim.

“DBKL bernasib baik kerana menerima bantuan menerusi perkongsian pengetahuan di samping kolaboratif serta latihan daripada TMG. Langkah itu membolehkan kita mencapai pengurangan intensiti karbon sebanyak 70 peratus menjelang 2030.

“TMG juga memperkenalkan langkah pengurusan bangunan sedia ada dan bangunan baharu berdasarkan pengalamannya sekali gus membantu memperkemaskan rangka kerja dasar bangunan yang mampan,” katanya ketika melancarkan Sistem Rendah Karbon Tokyo ke Kuala Lumpur (T2KLLCS) di sini hari ini.

Menurut Nor Hisham, program rendah karbon yang dilaksanakan DBKL pada masa ini adalah menukarkan semua lampu jalan kepada lampu LED, memasang peralatan cekap tenaga di semua bangunan DBKL, menanam lebih banyak pokok, serta menggalakkan orang ramai untuk berjalan dan berbasikaal di bandar.

“Pada masa sama, kami berharap untuk menggalakkan bangunan baharu milik persendirian dibina berdasarkan kategori bangunan hijau,” katanya.

Beliau berkata kerjasama antara bandar raya juga mendapat sokongan daripada Institut Strategi Alam Sekitar Global (IGES) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang fokus dari segi kepakaran dan koordinasi teknikal.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perubahan Iklim dan Tenaga TMG, Kenji Ogawa berkata, Tokyo telah menggunapakai amalan kecekapan tenaga sejak 2000 dan ia menjadikannya salah satu bandar metropolitan terbesar di dunia.

Beliau berkata, menerusi pelbagai langkah seperti program Cap dan Perdagangan Tokyo serta program pelepasan karbon monosida (CO2), bandar itu telah mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak kira-kira 23 peratus berbanding tahun 2000.

“Sasaran kami adalah untuk mencapai status sifar pelepasan karbon menjelang 2050 dan menyumbang kepada misi global untuk penyahkarbon,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas