Berita

DBKL tidak benarkan sebarang kerja pembangunan di Bukit Dinding

- Diterbit 23 September 2022 6:16 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan sebarang kerja-kerja pembangunan dijalankan di sepanjang kaki Bukit Dinding, di Wangsa Maju selagi sesi komunikasi strategik bersama penduduk masih belum dimuktamadkan.

DBKL dalam kenyataan semalam memaklumkan tapak projek itu merupakan kawasan yang dikhaskan untuk pembangunan kediaman di kawasan R12, Bandar Baru Wangsa Maju berdasarkan Pelan Konsep Pembangunan Bandar Baru Wangsa Maju yang diluluskan pada 1984 telah menyatakan keseluruhan kawasan tersebut dikhaskan untuk pembangunan kediaman.

“Tanah tapak projek ini milik persendirian dan pelan susun atur yang dikemukakan pemilik tanah telah diluluskan pada 2004 untuk pembangunan kediaman.

“Pelan susun atur pindaan telah diluluskan pada 2018 bagi pembangunan kediaman dan kemudahan sebuah rumah kelab. Kelulusan pindaan pelan susun atur ini telah dinilai dan mendapati ia mematuhi Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Cerun WPKL 2010 (GPWPKL2010) ,” kata kenyataan itu, hari ini.

Jelasnya, pelan susun atur pindaan ini juga mematuhi keperluan jabatan teknikal dalaman DBKL dan agensi-agensi teknikal luaran yang berkaitan.

“Selain itu, cadangan pembangunan ini telah diperakukan oleh pemeriksa bebas bertauliah yang dilantik bagi memeriksa kestabilan cerun dalam tapak cadangan.

“Sebahagian keluasan cadangan pembangunan telah dikhaskan bagi tujuan kawasan lapang/kawasan hijau.

Menurut kenyataan itu, cadangan pembangunan ini juga telah melalui proses pandangan awam dan DBKL turut mengadakan sesi libat urus bersama dengan penduduk setempat seawal tahun 2015.

“Seterusnya Perintah Pembangunan (DO) bagi cadangan pembinaan pembangunan Parcel 2 yang mengandungi dua blok kediaman 26 tingkat telah diluluskan pada 2022 selaras dengan pelan susun atur yang diluluskan pada 2018,”katanya.

Sebelum ini, dalam laporan media (Malay Mail) Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad telah menyuarakan kebimbangan penduduk dan menuntut DBKL memberikan butiran terperinci mengenai isu keselamatan dan kestabilan cerun kepada masyarakat di sana.

Sementara itu, DBKL dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya telah mengeluarkan Pelan Tindakan Banjir Kilat 2022 bagi mengurangkan masalah banjir kilat yang berlaku di ibu negara pada 9 Mei lepas.

Justeru itu, DBKL bersama beberapa agensi sedang melaksanakan tindakan tebatan banjir seperti yang terdapat di dalam pelan tersebut.

“Warga kota boleh merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 1 dengan melayari laman sesawang Laporan Ketua Audit Negara di https://lkan.audit.gov.my/,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) Datuk Ambiga Sreenevasan dan tujuh lagi individu memfailkan surat tuntutan (LOD) dua hari lalu terhadap DBKL serta memberi tempoh lima hari untuk mendedahkan maklumat kepada warga kota berhubung pelan mitigasi banjir bagi musim tengkujuh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas