Berita

DBKL tawar lebih 7,700 tapak niaga pasar malam

ANTARA lokasi tapak niaga yang kosong di 80 kawasan pasar malam sekitar Bandaraya Kuala Lumpur. ANTARA lokasi tapak niaga yang kosong di 80 kawasan pasar malam sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.
- Diterbit 12 November 2021 4:34 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka peluang kepada orang ramai yang berminat untuk mengisi kekosongan tapak niaga di 80 kawasan pasar malam sekitar bandar raya ini.

Khairul Anuar

Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL, Khairul Anuar Mhd Juri berkata, pihaknya telah meluluskan kira-kira 7,789 tapak niaga bagi memberi peluang kepada orang ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan di pasar malam.

“Setakat ini, kekosongan tapak ruang niaga yang ada melibatkan 80 Lokasi pasar malam dalam 11 kawasan parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan maklumat kekosongan petak adalah berdasarkan semakan silang di antara jabatan dengan pihak persatuan bermula dari bulan Jan 2021 hingga Mei 2021.

“Pasar malam tersebut dianjurkan oleh persatuan peniaga yang berdaftar dan mendapat kelulusan daripada DBKL dan seorang pengurus telah dilantik untuk memudahkan urusan permohonan daripada orang ramai yang berminat,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Beliau berkata, pemilihan atau permohonan peniaga bagi kekosongan petak kosong ini dinilai oleh pihak persatuan atau penganjur pasar malam.

“Kawalan atau kemasukan peniaga di kawal sepenuhnya oleh pihak persatuan berdasarkan lot petak yang telah diluluskan oleh DBKL.

“Seseorang peniaga juga dibenarkan memiliki tujuh lesen pasar malam bagi lokasi dan hari yang berbeza,” jelasnya.

Menjelas lanjut, Khairul Anuar berkata bayaran lesen yang dikenakan adalah standard dimana setiap permohonan dikenakan bayaran lesen untuk satu-satu lokasi sahaja.

“Sekiranya seseorang peniaga mempunyai tujuh lesen, maka ia perlu membuat bayaran untuk tujuh lesen seperti  yang dipohon manakala bayaran tapak adalah mengikut jumlah tapak yang dipohon.

“Selain daripada caj DBKL, terdapat juga caj lain yang akan dikenakan oleh pihak persatuan/penganjur pasar malam,” katanya.

Tambahnya, kekosongan petak ini akan diisi oleh pihak persatuan selepas fasa endemik berakhir dan dibenarkan beroperasi sepenuhnya tanpa syarat. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas