Berita

DBKL siap sedia hidupkan semula PSG

MAHADI (kanan) menyerahkan cenderahati kepada bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
- Diterbit 9 Januari 2021 12:38 PM MYT

PENINGKATAN kes positif COVID-19 yang mencecah empat angka kebelakangan ini telah meniupkan khabar angin bahawa kerajaan persekutuan akan menguatkuasakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk di Kuala Lumpur.

Rentetan daripada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berada di dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan termasuk menghidupkan semula Pusat Sementara Gelandangan (PSG).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che’ Ngah berkata, ketika ini pihaknya tidak mahu membuat telahan awal berhubung dengan perkara itu sekalipun berlaku peningkatan kes positif COVID-19 kebelakangan ini.

“Ini sebahagian daripada tanggungjawab sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menguruskan bandaraya Kuala Lumpur, kita akan bersiap sedia untuk menangani apa sahaja masalah yang timbul.

“Itu adalah tanggungjawab dan kita tidak boleh lari daripadanya seperti mana yang dikehendaki oleh pihak kerajaan dan masyarakat.

“Maka sudah pasti kita akan menangani isu ini dengan lebih kemas dan tersusun dan kemungkinan besar sekiranya ia berlaku seperti sebelum ini, kita akan melihat kepada program menyelamatkan gelandangan seperti yang pernah dilakukan untuk dilaksanakan semula,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi PSG di ibu negara malam tadi.

Majlis tersebut dianjurkan bagi meraikan pegawai dan kakitangan termasuk , 10 buah agensi kerajaan dan 23 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi media yang membantu DBKL menguruskan gelandangan sewaktu PKP pada Mac tahun lalu.

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan bekas Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff turut menerima cenderamata dan sijil penghargaan bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka menguruskan gelandangan ketika dalam tempoh PKP. – WILAYAHK

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas