Berita

DBKL serbu 53 premis haram, 12 kompaun dikeluarkan di pusat bandar

ANGGOTA penguatkuasa DBKL sentiasa komited dalam membanteras premis haram di sekitar Kuala Lumpur.
- Diterbit 19 Mei 2023 9:21 AM MYT

SEJUMLAH 53 premis haram diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Tindakan Khas Premis Berisiko (hotel dan rumah tumpangan) Siri 7 dan Siri 8 Tahun 2023 baru-baru ini.

DBKL berkata serbuan yang dilakukan adalah di sekitar kawasan Cheras dan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Sebanyak 53 buah premis telah dibuat pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti premis perniagaan melibatkan hotel dan rumah tumpangan,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook DBKL.

Tambahnya 12 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap premis hotel dan rumah tumpangan yang beroperasi tanpa kebenaran.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, sebanyak 12 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Hotel (WPKL) 2023. Selain itu, lima notis kompaun terhadap premis yang tidak mempunyai lesen papan iklan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 198 turut dikeluarkan,” ujarnya.

DBKL berkata pemantauan akan terus dilakukan di sekitar kawasan tumpuan bagi membanteras premis haram.

“DBKL akan meneruskan tindakan pemantauan dan pemeriksaan secara berperingkat terhadap aktiviti rumah tumpangan dan hotel-hotel bajet yang terdapat di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan ia beroperasi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesalahan terhadap aktiviti rumah tumpangan dan hotel bajet di sekitar Kuala Lumpur boleh menyalurkan aduan menerusi adukl.dbkl.gov.my,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL turut meneruskan Tindakan Pasar Harian Selayang yang mana menerusi tindakan kali ini tujuh aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh warga asing telah disita dan 17 notis telah dikeluarkan.

“Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah kaedah 16 (1) dan Undang-Undang Kecil 3 (1),” ujar DBKL tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas